Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang dijadualkan mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Sibuga hari ini gagal hadir ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Ahmad Abdul Rahman berkata Musa sepatutnya mengangkat sumpah pada 2.30 petang tadi.

"Beberapa hari lepas kita telah menerima surat daripada pihak Musa mengenai perkara itu (angkat sumpah), namun kita telah dimaklumkan bahawa Musa tidak dapat hadir pada hari ini.

"Bagaimanapun kita tidak mengetahui apa sebab beliau tidak dapat hadir," katanya kepada pemberita di perkarangan DUN Sabah di Kota Kinabalu.

Ahmad berkata walaupun gagal hadir untuk mengangkat sumpah pada hari ini, Musa masih mempunyai tempoh untuk berbuat demikian sehingga 11 September ini.

"Beliau mempunyai hak untuk mengangkat sumpah sebagai ADUN. Oleh itu beliau boleh mengangkat sumpah bila-bila masa sehingga tempoh yang ditetapkan," katanya.

Musa yang tidak hadir pada majlis angkat sumpah ADUN yang diadakan sebelum ini kerana menjalani rawatan perubatan di United Kingdom, pulang ke Malaysia dua hari lepas.

Berdasarkan perlembagaan negeri, Musa mempunyai tempoh sehingga 11 September depan untuk mengangkat sumpah sebagai ADUN, iaitu tiga bulan selepas persidangan pertama DUN pada 11 Jun lalu.

Jika gagal mengangkat sumpah dalam tempoh itu, kerusi DUN Sungai Sibuga yang dipertahankan Musa pada PRU ke-14 boleh diisytiharkan kosong.

-Bernama

Lihat Komen
ADS