Berita Malaysiakini

Shafie gagal batal saman pemula Musa

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini gagal untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman yang mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei lalu.

Hakim Datuk Yew Jen Kie, ketika menyampaikan keputusan menerusi telesidang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, berkata Musa, selaku plaintif, telah mengemukan persoalan mengenai undang-undang yang menyebabkan saman pemula itu tidak sesuai untuk dibatalkan.

"Setelah meneliti afidavit dan hujahan pihak berkenaan, saya berpuas hati bahawa plaintif telah menimbulkan persoalan tentang undang-undang yang memerlukan pertimbangan penuh yang menyebabkan saman pemula tidak disengaja dibatalkan.

“Oleh itu, saya memutuskan untuk menolak permohonan berkenaan dengan kos," katanya pada prosiding kes saman berkenaan.

Beliau turut mengarahkan pihak plaintif mengemukakan penghujahan ke atas saman pemula terhadap Mohd Shafie pada atau sebelum 14 Sept ini manakala Mohd Shafie, selaku defendan memfailkan penghujahan pada atau sebelum 24 Sept ini.

Plaintif turut diarah memfailkan jawapan mereka pada 5 Okt ini.

Yew kemudian menetapkan 26 Okt ini untuk keputusan.

Mohd Shafie diwakili oleh peguam Datuk Douglas Lind manakala Musa diwakili oleh Tengku Fuad Tengku Ahmad dan Suku Vanugopal.

Pada Jun lalu, Musa memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Writ saman berkenaan difailkan menerusi firma guaman Messr FT Ahmad & Co yang mewakili Musa, menggantikan saman difailkan pada 17 Mei lalu yang dibatalkan.

Saman berkenaan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri pada 12 Mei lalu adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Bagaimanapun, pada 5 Jun lalu, Mohd Shafie mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman Musa atas alasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu tidak mempunyai alasan munasabah untuk mencabar pelantikannya.

Pada hari berikutnya, Musa memfailkan saman baharu terhadap Juhar dan Mohd Shafie dengan menuntut pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukan undang-undang.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei lalu berdasarkan majoriti 31 kerusi menerusi kerjasama BN dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Bagaimanapun, dua hari kemudian Musa hilang majoriti apabila beberapa wakil rakyat BN menyokong gabungan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan dengan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri.

- Bernama