PRK SERI SETIA | Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar menyasarkan kira-kira 60 peratus pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 8 Sept ini.

Katanya sasaran berkenaan yang diletakkan melepasi peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis pada awal bulan ini dijangkakan mampu dicapai berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh penduduk kawasan berkenaan sejak gerak kempennya berjalan sehingga hari ini.

Pada PRK DUN Sungai Kandis peratusan keluar mengundi adalah 49.4 peratus.

"Kami telah mendekati kira-kira 30 peratus pengundi di kawasan Seri Setia dan insya-Allah gerak kempen kami akan dipergiatkan menjelang dua minggu terakhir kempen.

Saya percaya sasaran kira-kira 60 peratus ini akan dapat kami capai" katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mengagihkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang kepada pengunjung sebuah restoran 24 jam di Kelana Jaya hari ini.

Sehubungan itu beliau menyeru pengundi di Seri Setia agar keluar beramai-ramai pada hari pengundian 8 Sept untuk memilih wakil rakyat mereka.

Dalam PRK Seri Setia, Halimey berhadapan dengan dengan calon PAS Dr Halimah Ali.

PRK berkenaan diadakan selepas penyandangnya Prof Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

- Bernama