Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Senarai lengkap barangan dikenakan SST minggu depan

Senarai lengkap barangan yang tertakluk kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) hanya akan dimuktamadkan minggu depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk T Subromaniam.

"Kami akan memuktamadkan (senarai lengkap) dalam masa beberapa hari. Minggu depan, ia akan dimuktamadkan," katanya kepada Malaysiakini.

Kerajaan merancang untuk memulakan SST seminggu lagi bermula 1 Sept. Sehingga hari ini, undang-undang berkaitan masih belum dipaparkan di portal rasmi e-Warta Persekutuan

Bagaimanapun, terdapat mesej yang tular mendakwa  barangan penting akan dikenakan cukai jualan, yang mungkin sama ada 5 atau 10 peratus.

Ini berdasarkan dokumen kadar cukai jualan oleh Jabatan Kastam yang telah dinyatakan di laman web jabatan itu.

Oriental Daily pada 23 Ogos melaporkan semua produk kosmetik - termasuk barangan penting seperti syampu dan ubat gigi - akan dikenakan cukai jualan pada kadar 10 peratus.

Setakat ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan berhasrat mengecualikan 5,443 barang dan perkhidmatan dari SST, berbanding 545 barangan yang dikecualikan cukai di bawah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan kerajaan BN sebelum ini.

Lim berkata SST terdiri daripada 38 peratus daripada bakul barangan dan perkhidmatan Indeks Harga Pengguna (CPI), manakala GST meliputi lebih 60 peratus.

Cukai jualan akan dikenakan ke atas barangan yang dikeluarkan di Malaysia dan dijual, digunakan atau dilupuskan, serta barangan yang diimport ke negara ini.

Cukai perkhidmatan akan dikenakan ke atas sebarang perkhidmatan yang dikenakan cukai di Malaysia.

Perkhidmatan yang dikenakan cukai akan ditentukan oleh menteri kewangan yang mempunyai kuasa untuk menetapkan kadar SST.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS