Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perhimpunan agung sederhana selepas Umno hilang kuasa

Perhimpunan agung Umno akan diadakan secara lebih sederhana tahun ini selain hanya akan berlangsung selama dua hari - ketika hujung minggu - berbanding lima hari seperti sebelum ini.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa antara sebab langkah itu adalah ekoran hakikat parti itu tidak lagi dalam kedudukan untuk mendesak kerajaan mengikuti resolusinya.

Perhimpunan itu - yang biasanya dibuat dalam suasana pesta - biasanya diadakan pada hujung November atau awal Disember setiap tahun. Tahun ini ia akan diadakan pada akhir September.

Menurut laporan, sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri - akan mengadakan mesyuarat agung pada 29 September diikuti persidangan parti keesokannya.

Perhimpunan berkenaan akan tetap diadakan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dimiliki parti itu.

Sebelum ini, Umno memperuntukkan selama dua hari untuk sayap parti dan badan utamanya membahaskan usul mengenai politik, ekonomi dan agama.

Apabila sesuatu resolusi dibuat ia akan disampaikan terus kepada perdana menteri yang juga presiden Umno.

Sementara itu, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa agensi berkaitan kerajaan tidak akan menyediakan gerai di aras dua dan tiga PWTC, tidak seperti pada tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, satu aras di PWTC masih dibuka untuk peniaga yang kebiasaannya sebelum ini diadakan di dewan pameran Dewan Tun Razak 4.

Kali ini, menurut sumber, gerai peniaga akan dibuka di aras dua berhampiran kafe.

Malaysiakini dan portal berita lain sebelum ini dihalang daripada memasuki dewan tempat perhimpunan itu berlangsung dan terpaksa bergantung pada paparan skrin di kawasan terbuka untuk membuat liputan.

Tidak jelas apakah amalan ini akan diteruskan.

Lihat Komen
ADS