Operasi mencari dan menyelamat tiga remaja yang hanyut dibawa ombak besar di pantai Telok Kalong di Kemaman pada Khamis lepas, ditamatkan susulan penemuan mayat mangsa terakhir hari ini.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata mayat Khairul Ikmal Danial Zamzuradi, 19, ditemukan pada jarak 2.1 kilometer dari pos kawalan operasi bomba di pesisir pantai itu pada 9.45 pagi ini.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis setelah pengecaman dibuat anggota keluarga untuk tindakan seterusnya," katanya dalam kenyataan.
Mayat mangsa pertama, Shahir Aqil Shahrun,19, dijumpai pada 4.30 pagi semalam pada jarak 500 meter dari pos operasi bomba manakala mayat Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, ditemukan 5.20 pagi tadi, kira-kira 100 meter dari lokasi mayat Shahir Aqil dijumpai.
Ketiga-tiga remaja itu bersama empat rakan mereka ke pantai tersebut untuk mandi bersama kira-kira 6 petang Khamis, namun ombak besar tiba-tiba berlaku sehingga mereka gagal berenang ke pantai sebelum dibawa arus deras.
Sementara itu, Zamzuradi Othman, 46, berkata beliau reda dengan pemergian anak lelaki tunggalnya, Khairul Ikmal Danial dan berterima kasih kepada gabungan pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus sepanjang operasi mencari dijalankan.
"Sekurang-kurangnya saya dapat menatap wajah anak saya buat kali terakhir dan menyempurnakan jenazahnya.
"Terima kasih atas doa dan semangat yang diberikan orang ramai kepada kami sekeluarga serta takziah kepada keluarga mangsa yang lain atas pemergian mereka ini," katanya.
- Bernama
