Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Perak: Orang Asli, pemburu haram punca 'pak belang' pupus

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu hari ini mendedahkan terdapat kumpulan masyarakat Orang Asli di Pengkalan Hulu yang bersekongkol dengan pemburu haram sehingga menyebabkan hidupan liar seperti harimau di Taman Negeri Royal Belum semakin pupus.

Beliau berkata kumpulan itu menerima bayaran antara RM400 hingga RM500 untuk memasang perangkap bagi memerangkap 'pak belang'.

"Ada (Orang Asli) yang bekerjasama dengan pemburu untuk tanam perangkap harimau dan ini adalah antara punca harimau semakin berkurang kepada hanya kira-kira 40 ekor berbanding beratus-ratus sebelum ini," katanya ketika berucap merasmikan bangunan Chinta Bistari Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak di Simpang Pulai.

Selain itu, beliau berkata terdapat juga segelintir Orang Asli yang sanggup membenarkan pembalakan haram di kawasan mereka sehingga menyebabkan pencemaran alam dan akhirnya menjejaskan kehidupan masyarakat tersebut.

"Orang Asli tak dapat apa-apa, air sungai jadi keruh dan yang untung pembalak haram. Orang Asli mesti bersatu hati menjaga bumi kita, jangan biarkan orang luar rosakkannya," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Chenderiang meminta ibu bapa daripada kalangan Orang Asli agar mengikis perasaan takut untuk menghantar anak ke sekolah demi masa depan mereka.

"Anak-anak wajar dapat yang terbaik untuk masa depan mereka. Kalau sayangkan anak dan cucu bagilah pendidikan yang sempurna.

"Pelbagai kemudahan disediakan kerajaan tapi tak nak hantar anak ke sekolah, risau, susah hati (jadi perkara tidak baik) banyak alasan dan sikap ini tidak berubah," katanya yang juga Anggota Parlimen Tambun.

Terdahulu, Pengerusi Yayasan Orang Asli Perak (YOAP) Suki Mee dalam ucapannya berkata pusat kecemerlangan itu dibangunkan bersama pihaknya dengan MHC Plantations Bhd, sebuah syarikat perladangan bagi membangun serta memajukan masyarakat Orang Asli.

"YOAP sentiasa berusaha untuk memperkasa masyarakat Orang Asli dalam pelbagai aspek terutama pendidikan kerana masih jauh ketinggalan," katanya.

Beliau juga berharap kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan dapat terus menjaga serta memastikan hak serta kebajikan Orang Asli di Perak amnya dan Malaysia khasnya terjamin serta terpelihara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS