Pengarah Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan, Darussalam Budin memberi jaminan doktor sentiasa dalam keadaan bersiap sedia mengawasi keadaan kesihatan para tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang sedang mogok lapar.

"Kami akan sentiasa menyediakan makanan kepada mereka dan jika katakan mereka tidak sihat, kami telah sedia dengan doktor yang sentiasa berjaga-jaga," kata beliau kepada ahli keluarga tahanan di luar penjara Sungai Buloh hari ini.

Darussalam berkata demikian selepas beliau dan Anggota Parlimen Sungai Buloh, merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa Rasiah bersama ahli keluarga melawat tahanan berkenaan serta bercakap dengan tiga wakil mereka.

Ahli keluarga yang berhimpun di luar penjara Sungai Buloh sejak jam 11 pagi tadi menyatakan keprihatinan keadaan kesihatan para tahanan jika mereka terus mogok lapar.

Darussalam berkata mereka telah menasihatkan tahanan untuk tidak meneruskan mogok lapar kerana matlamat mereka menyampaikan mesej kepada kerajaan telah tercapai.

Ahli keluarga masih berhimpun

"Tujuan mereka mogok lapar adalah supaya mereka boleh menyampaikan suara mereka mengenai Sosma.

"Mereka bukan sahaja didengar oleh kami dan kementerian kami, tetapi juga daripada menteri atau timbalan menteri. Sivarasa (telah berkata) akan membawa isu ini.

"Kami nasihat mereka supaya tidak meneruskan mogok lapar tetapi itu adalah hak mereka," katanya.

Walaupun Sivarasa dan Darussalam telah meninggalkan kawasan itu, namun ahli keluarga masih tetap berhimpun di luar penjara.

Pihak polis yang berkawal di luar penjara perlahan-lahan mengalihkan hadirin daripada kawasan perhimpunan yang berlangsung betul-betul di hadapan pintu masuk penjara Sungai Buloh.

[Baca berita penuh]