REHDA nafi pemaju enggan jual lot bumiputera pada Melayu
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kedah/ Perlis menafikan dakwaan bahawa isu lot kuota hartanah bumiputera yang tidak terjual adalah disebabkan oleh pemaju enggan menjualnya kepada orang Melayu.
Pengerusinya, Datuk Rick Cheng Wooi Seong, berkata ini kerana permintaan terhadap lot itu tetap rendah walaupun pihaknya bersedia memberi tawaran dan diskaun.
“Siapa yang sanggup menanggung kos penyelenggaraan bangunan terbiar...Permintaan ini ditentukan oleh kuasa pasaran dan bukannya pemaju atau hartanah. Ada pembeli Melayu yang bersedia membayar lot kuota bebas dan bukan beli lot kuota bumiputera walaupun telah diberi diskaun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini kerajaan negeri bercadang menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji saranan REHDA agar lebih kurang 1,000 unit kuota lot bumiputera tidak terjual di negeri sejak 10 tahun lepas diberi pelepasan berikutan kos dan masalah ditanggung pemaju.
Bagaimanapun, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri tidak seharusnya melayani permintaan tersebut kerana mendakwa pemaju tidak mengulangi tawaran penjualan, memberi maklumat tidak benar kepada bakal pembeli bumiputera serta cuba memanipulasi mekansime pelepasan.
Lot bumiputera bukan atas Tanah Rizab Melayu
Cheng berkata PAS sendiri sewaktu mengambil alih kerajaan pada 2008, telah memperkenalkan prosedur tambahan kepada dasar sedia ada iaitu pemaju diminta menyerahkan unit tidak terjual kepada Darulaman Aset Sendirian Berhad (DASB).
“DASB jalankan beberapa inisiatif namun gagal jual unit tersebut yang bernilai RM100 juta, ini terbukti bukan kami tidak ingin menjual tapi kuasa pasaran memang tidak mengizinkan,” katanya.
Beliau turut menyanggah kenyataan PAS yang menyatakan bahawa cadangan pelepasan lot tersebut merupakan salah satu cara untuk melupuskan Tanah Rizab Melayu (TRM), kerana jelas beliau, perkara itu sebenarnya langsung tidak pun berkaitan memandangkan lot bumiputera yang dibangunkan bukanlah di atas TRM, sebaliknya di atas tanah milikan bukan bumiputera.
“Apa yang diminta oleh kami ialah pelepasan lot hartanah bumiputera yang tidak terjual sejak bertahun-tahun lalu sehingga menyebabkan modal pemaju hartanah terbeku sehingga RM400 juta setakat ini, ini sangat membebankan pemaju yang terpaksa tanggung kos penyelenggaraan,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar kerajaan segera mempertimbangkan cadangan tersebut malah pihaknya bersedia membayar levi munasabah yang dicadangkan untuk maksud pelepasan lot tersebut.
Dalam tempoh 30 tahun lalu, katanya, pemaju swasta telah membina lebih 100,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik untuk rakyat Kedah dan majoritinya orang Melayu.
- Bernama

