Laporan: Jualan lelong, liputan buruk rendahkan harga Equanimity
Jualan lelong dan laporan negatif mengenai kapal layar mewah, Equanimity boleh menyebabkan pembeli berpotensi menurunkan harga bidaan mereka bagi kapal tersebut, lapor The Star hari ini.
Sam Tucker, ketua bahagian kapal mewah dari firma penilaian kapal yang berpangkalan di London, VesselsValue dipetik portal itu ketika menjelaskan proses penjualan Equanimity.
Syarikat itu menilai kapal berkenaan berharga sekitar AS$ 175 juta.
Tucker berkata Equanimity boleh mencecah harga yang sama atau dalam lingkungan tersebut dengan syarat ia menerima perhatian yang sewajarnya.
"Jika kapal itu dijual dengan cepat, misalnya, melalui lelong, kita sepatutnya akan melihat harga yang lebih rendah berbanding jika kapal ini dipasarkan dan dijual secara biasa.
"Hakikatnya kapal ini dipaparkan dalam akhbar sejak kebelakangan ini dan atas sebab yang tidak semestinya betul, mungkin menggalakkan pembeli meletakkan tawaran yang lebih rendah," katanya dipetik sebagai berkata.
Laporan itu juga menyebut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa kerajaan bercadang untuk mengadakan bidaan bagi menjual kapal itu.
Tiada perubahan dalam pasaran kapal layar
Tucker berkata, proses jualan biasanya bermula dengan penjual menghubungi broker, yang kemudian memasarkan kapal melalui media dan e-mel kepada rakan pembeli.
"Jika pembeli hadir sendiri, proses tinjauan dan rundingan bermula," katanya.
Tucker dilaporkan berkata tidak ada perubahan dalam sentimen pasaran untuk kapal layar mewah itu yang dijangka mempunyai sedikit pembeli.
Kapal Equanimity berukuran - lebih 24m tinggi dan 91.5m panjang.
Beliau berkata Anastasia, yang dibina oleh pembina kapal yang sama tetapi lebih kecil pada ukuran 76m, baru-baru ini dijual dengan harga €67.5 juta (RM321 juta) sejajar dengan sentimen pasaran.
Menurut laporan itu, nilai kapal layar menyusut 20 peratus dalam tahun pertama, lima hingga sepuluh peratus pada tahun kedua, lima hingga tujuh peratus pada tahun ketiga dan kira-kira lima peratus pada setiap tahun berikutnya.
Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) mendakwa ahli perniagaan yang kini sedang diburu, Low Taek Jho menyalahgunakan AS$ 250 juta daripada dana 1MDB untuk membiayai pembelian kapal itu, menerusi beberapa perantara bagi menyembunyikan punca wang tersebut.
Kerajaan dan 1MDB telah memetik dakwaan DOJ ketika memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut kapal itu baru-baru ini.

