Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas timbalan menteri Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang meninggal dunia hari ini.

“Salam takziah kepada keluarga Datuk Seri Zainal Abidin Osman, bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Semoga arwah dicucuri rahmat,” katanya menerusi akaun Twitter beliau.

Zainal Abidin, 58, meninggal dunia di Hospital Ampang di sini pada 2.07 pagi tadi akibat kanser berkaitan darah (multiple myeloma).

Sementara itu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa sedih atas pemergian bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang itu.

“Menerima perkhabaran sedih pemergian sahabat saya Allahyarham DS Zainal Abidin Osman. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah. Takziah buat seluruh ahli keluarga. Al Fatihah,” katanya di laman Twitter.

Ketua Whip Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata Umno kehilangan serorang pemimpin yang sentiasa komited untuk membantu rakyat khususnya di Pulau Pinang.

- Bernama