Isu LGBT: Biar rakyat berfikir, kata pemimpin PAS
Bagaimanakah cara yang dirasakan sesuai bagi menangani masalah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mengikut pemimpin PAS?
Hal itu menarik perhatian apabila Bendahari PAS Pusat Razman Zakaria memuat naik satu klip video mengenai ketegasan pihak berkuasa asing - dipercayai India - menguruskan pasangan bercinta di kawasan awam.
"Boleh kita tangani LGBT seperti ini," tulisnya di Facebook dengan diiringi klip video sepanjang kira-kira 70 saat.
Melalui klip video berkenaan kelihatan dua anggota penguat kuasa membuat rondaan di kawasan taman awam dan mengarahkan beberapa pasangan yang sedang duduk berdua-duaan supaya bersurai.
Mereka juga memukul pasangan terbabit dengan kayu kecil.
Ketika dihubungi Malaysiakini Razman tidak menyatakan secara jelas sama ada kaedah itu yang menjadi pilihan sebaliknya berkata perlu difikirkan kaedah semasa yang bersesuaian.
Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Perak memberitahu perlu ada tindakan yang diambil supaya masyarakat dapat berfikir mengenainya.
"Kita kena memikirkan sesuatu (kaedah) mencegah supaya (gejala itu) tak jadi budaya yang diikitiraf.
Baca PRU14: PAS sasar 30 kerusi DUN di Perak
"Macam (masalah) penagih dadah, kita tahu sekampung ada dua, tiga orang. LGBT macam tu jugalah, satu kampung ada dua, tiga orang tapi (tetap) perlu ditangani, buat pemulihan, ubati mereka supaya jadi baik, kembali pada masyarakat.
"Jadi kalau kita nak biar dia jadi komuniti tak berapa nak betullah," katanya lagi.
Razman yang juga anggota dewan undangan negeri Gunung Semanggol menambah, hantaran di Facebooknya itu sekadar untuk menjelaskan bagaimana amalan couple (berpacaran) itu menjadi berleluasa kerana dibiarkan saja.
"Yang LGBT ini yang melampaui batasan agama… kena ada cara menyekat daripada tersebar," katanya.

