Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba ke Mongolia hari ini untuk lawatan rasmi.

Baginda diberi sambutan meriah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chinggis Khaan, Ulaanbattar hari ini.

Pesawat peribadi Sultan Ibrahim tiba pada jam 2.15 petang dan disambut oleh Penasihat Polisi Luar Negara Presiden Mongolia, T Tegshjargal bersama barisan pegawai kanan negara itu.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim akan mengadakan pertemuan bersama Presiden Mongolia Khaltmaagin Battulga esok, diikuti perjumpaan bersama Perdana Menteri U Khurelshukh di kediaman rasmi beliau.

“Baginda juga dijangka berangkat ke sesi penerangan mengenai pembangunan Mongolia bersama delegasi sebelum baginda mengadakan lawatan ke beberapa lokasi menarik di negara itu,” menurut maklumat pejabat media diraja.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama baginda ke negara itu yang dilihat dapat meningkatkan hubungan dua hala antara Mongolia dan Johor.