Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Isu pegawai Mat Sabu lebih utama berbanding dana RM90 juta'

Pemimpin PAS menegaskan isu pegawai kanan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lebih utama berbanding dakwaan parti itu menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu perlu memberi tumpuan terhadap isu melibatkan pegawai kanannya yang kini menjadi tumpuan ramai.

"Secara mudahnya biar Mat Sabu selesaikan dulu kes dakwaan terhadap pegawai dia dalam isu RM800,000.

"Selesaikan yang itu dulu, sebelum buat dakwaan kepada PAS. Itu lebih besar lagi, semua orang nak tahu betul ke tidak, duit daripada mana.

"Sedangkan dia (pegawai berkenaan) status bankrap sudah empat tahun, tiba-tiba dalam masa dua tiga hari boleh selesai RM800,000," katanya ketika ditemui media Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu media melaporkan Mohamad yang juga presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan pihaknya mempunyai bukti mengenai dana RM90 juta yang pernah dikaitkan dengan PAS sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, bukti penerimaan dana itu daripada Umno akan dikemukakan selepas selesainya kes saman PAS terhadap Sarawak Report berhubung isu sama.

Sebelum ini Malaysiakini pada 14 Ogos lalu melaporkan SPRM sedang menyiasat pegawai kanan Mohamad susulan dakwaan menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantunya menyelesaikan hutangnya dan dikeluarkan daripada status muflis.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pegawai itu diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi kira-kira empat tahun lalu.

Status itu kekal sehingga penghujung Mei lalu, apabila beberapa bayaran dikatakan dimasukkan ke dalam akaun jabatan itu oleh beberapa pihak untuk penyelesaian hutangnya.

Bagaimanapun Mohamad sudah menegaskan bahawa beliau tidak dapat berkompromi dalam soal integriti serta mengalu-alukan siasatan dilakukan ke atas kakitangan kementerian berkenaan.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan mengalu-alukan sebarang bukti berhubung dakwaan PAS menerima dana RM90 juta itu.

"Dia kena kemukakan buktilah, sebab dakwaan itu lama dah kita dengar, sebelum pilihan raya umum lagi.

"Sampai sekarang pun tiada bukti," jelasnya.

Lihat Komen
ADS