Berita Malaysiakini

Kini kita pula takut Akta Antiberita Tidak Benar, kata senator BN

Kow Gah Chie  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PARLIMEN | Senator BN Datuk Seri Khairudin Abd Samad mengakui kini mereka pula bimbang Akta Antiberita Tidak Benar dan undang-undang kontroversi lain akan digunakan ke atas mereka.

"Rakan-rakan saya dalam pembangkang bisik pada saya, dulu kita yang buat undang-undang ini, kononnya nak sekat...tangkap pembangkang (dulu) kerana selalu sebarkan fitnah dan berita palsu.

"(Kini) kita jadi pembangkang (ada risiko) kena tangkap, cuba bayangkan," katanya disambut ketawa anggota Dewan Negara yang lain ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 hari ini.

"Pembangkang jadi takut dan gusar, dulu luluskan undang-undang ini tetapi kini senjata makan tuan. Mereka sekarang yang (akan dilihat) sebar (berita palsu)," katanya lagi.

selain akta itu, beliau mengakui pembangkang turut mendapati Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) sebagai bermasalah.

"(Maka) mereka minta saya bahas isu ini," katanya lagi yang juga presiden Majlis Senator Malaysia.

Khairuddin berkata beliau difahamkan bahawa kerajaan dahulu mempunyai masalah dengan sesetengah media luar negara, seperti CNN, Sky News dan Al-Jazeera.

Perkara itu disampaikan ketika taklimat kerajaan ketika mahu meluluskan akta itu awal tahun ini, katanya lagi.

Sebelum itu. beberapa senator BN yang membahaskan pemansuhan akta tersebut juga mengakui motif politik di sebaliknya tetapi menegaskan ia boleh ditambahbaik untuk rakyat yang mungkin menjadi mangsa penyebaran berita palsu.