Peguam gesa KDN tarik balik dakwaan hanya 3,853 kaum India tanpa IC
Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran membidas kerajaan kerana mendakwa hanya 3,853 kaum India di Malaysia Tanpa kewarganegaraan berdasarkan permohonan kad pengenalan yang diterima.
Jelas Surendran, dakwaan berkenaan tidak bertanggungjawab dan tidak logik kerana terdapat beribu lagi yang permohonannya ditolak berkali-kali, belum memohon, ataupun sudah putus asa memohon kad pengenalan.
"Bagi ribuan yang belum memohon, kurang pendidikan, tidak peduli dan kerenah birokrasi di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara faktor utama.
"Timbalan Menteri Dalam Negeri (Datuk Azis Jamman) tidak mempedulikan angka 300,000 kaum India tanpa kewarganegaraan yang saya nyatakan pada 2012. Angka itu merupakan anggaran yang berkredibel berdasarkan maklum balas daripada NGO, aktivis, dan kajian populasi.
"Timbalan menteri mengambil jalan mudah dan bukannya cuba mendapatkan pengesahan dengan turun padang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Surendran juga menggesa Kementerian Dalam Negeri menarik balik kenyataan itu.
Awal hari ini, Azis memberitahu Dewan Negara bahawa dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) bahawa terdapat 300,000 kaum India tanpa kewarganegaraan di Malaysia adalah tidak tepat.
Jelas Azis, setakat Mei tahun ini, kementeriannya hanya menerima 3,853 permohonan untuk kad pengenalan dan 1,638 daripadanya sudah diselesaikan.
Sementara itu, tambah Surendran, pendekatan kerajaan untuk memberikan angka kes berkenaan di negara ini adalah tidak bertanggungjawab kerana menurutnya, kerajaan tidak mempunyai bancian untuk menentukan jumlah sebenar.
"Jumlah 3,853 itu juga bercanggah dengan jumlah yang dikemukakan oleh NGO, badan awam dan sosial, serta aktivis politik yang cuba menangani isu berkenaan selama ini.
"Kami menggesa Kementerian Dalam Negeri menarik balik sepenuhnya dakwaan tidak berasas bahawa hanya 3,853 kaum India tanpa kewarganegaraan dan mengambil langkah segera untuk mengenal pasti dan memberikan kad pengenalan biru kepada individu yang layak," katanya

