Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Penasihat Kerajaan tak perlu diteruskan, kata Jomo

Tiada keperluan untuk meneruskan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) selepas tamat tempoh 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) memandangkan ada banyak "salah tanggapan" terhadapnya, kata Jomo Kwame Sundaram.

Pakar ekonomi dan salah seorang anggota majlis itu berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun boleh menggunakan khidmat mereka secara individu jika mahu berbuat demikian.

"Kita boleh teruskan tetapi bukan sebagai CEP. Terlalu ramai yang ada tanggapan salah tentangnya. Banyak kritikan dan tiada guna untuk menjawabnya. Tamatkan saja (CEP).

"Jika kerajaan mahukan anggota CEP memberi khidmat kepada kerajaan atau Tun Mahathir, boleh saja. Saya rasa semua dalam CEP sanggup membantu.

"Tetapi CEP sendiri sudah jadi kontroversi dan kerajaan tidak sepatutnya diganggu dengan kontroversi yang tidak perlu," katanya kepada pemberita selepas program di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Kuala lumpur petang tadi.

Beliau menjawab soalan tentang kemungkinan majlis itu diteruskan melangkaui tempoh 100 hari minggu lalu.

Antara salah tanggapan itu, katanya lagi, adalah anggota CEP berada dalam majlis itu untuk manfaat peribadi, dan mereka telah melakukan "banyak perkara" walaupun ia tidak berlaku.

Katanya lagi, sokongan dan keadaan positif sewaktu majlis itu mula menjalankan tugas lama kelamaan semakin berkurangan.

"Jadi mengapa teruskannya, mengembalikan kontroversi secara sia-sia?"

Beliau berkata sebab mereka menerima tanggungjawab itu adalah untuk membantu Mahathir, dan beliau percaya perdana menteri memang memerlukan bantuan dalam beberapa perkara.

"(Selepas ini) Beliau patut memanggil kami secara individu untuk membantunya dalam tugas tertentu. Dan itu patut dilakukan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS