Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Berhentilah main emosi rakyat, kata calon PAS pada HARAPAN

PRK SERI SETIA | Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) digesa supaya tidak bermain dengan emosi rakyat sebaliknya harus menunaikan janji-janji yang diberi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Dr Halimah Ali berkata, setiap bantuan yang dijanjikan perlu ditunaikan kepada rakyat yang memerlukan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat sebelum ia dimansuhkan.

"Sebelum PRU14 banyak perkara yang dijanjikan dan sebagainya. Bila dah jadi kerajaan, tiba-tiba (sekarang) berkata sebaliknya dan pelbagai alasan diberikan," katanya apabila ditemui semasa melakukan tinjauan mesra di Pasar Malam Kampung Lindungan, di Petaling Jaya, hari ini.

"Kalau orang miskin, kenalah bagi zakat, bagi bantuan melalui jabatan kebajikan atau apa sahaja saluran seperti yang sepatutnya, setelah melakukan kajian mengikut kes," katanya.

Sementara itu, bekas exco kerajaan Selangor itu berkata PAS mengutamakan serta mengutarakan budaya politik matang dan sejahtera demi keperluan rakyat.

"PAS memperjuangkan budaya yang matang dan sejahtera dengan fikiran yang lebih rasional, di mana maklumat diberikan lebih tepat serta gambaran yang jelas daripada semua sudut dan bukannya separuh jalan,” katanya.

Pada 8 September ini, Dr Halimah yang juga bekas ADUN Selat Klang berdepan satu lawan satu menentang calon HARAPAN Halimey Abu Bakar untuk mengisi jawatan sebagai ADUN Seri Setia.

Kekosongan kerusi DUN tersebut berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS