Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai kanan APMM direman 7 hari bantu siasatan kes rasuah

Seorang Leftenan Komander Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram.

Permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Majistret/Sesyen Kemaman Badrul Munir Mohd Hamdy.

Sumber SPRM mengatakan suspek yang bertugas sebagai Pegawai Pemerintah di sebuah kapal itu dipercayai menerima wang rasuah berjumlah antara RM4,000 hingga RM9,000 daripada tauke kapal dari 2016 hingga 2017.

Wang itu yang dimasukkan ke dalam akaun individu lain sebagai balasan bagi melepaskan bot nelayan asing yang ditahan APMM kerana kesalahan menceroboh perairan negara khususnya di perairan Terengganu.

Lelaki tersebut juga disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram hasil kegiatan rasuah itu.

"Suspek ditahan pada 11.20 pagi semalam di Dewan Majlis Daerah Pasir Putih, Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFUPUAA 2001) ," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS