Tugas penasihat media PM bebaskan media di negara ini
Pelantikan wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin sebagai penasihat media dan komunikasi bulan lalu adalah untuk membantu kerajaan Pakatan Harapan untuk menunaikan janjinya untuk membebaskan media di negara ini.
Difahamkan bahawa antara tugas penting bagi Kadir, bekas editor kumpulan New Straits Times, adalah untuk memastikan bahawa media mempunyai "kebebasan untuk berperanan sebagai semak dan seimbang terhadap kerajaan'.
Tugas lain termasuk penubuhan majlis media serta membantu usaha meningkatkan kebebasan dan profesionalisme dalam media milik kerajaan seperti Bernama dan RTM.
Tujuan majlis media adalah untuk membenarkan industri itu menyelia diri sendiri tanpa campur tangan kerajaan.
Cadangan itu, pernah disuarakan beberapa kali sejak beberapa dekad lalu, tetapi tidak menjadi kenyataan kerana kerajaan sebelum ini menolak cadangan untuk menghapuskan undang-undang yang menyekat media.
Antara fungsi majlis media adalah untuk memastikan bahawa media mematuhi kod etika rasmi yang akan diguna pakai dan menerima aduan orang ramai mengenai kandungan media.
Kadir perlu bertindak segera kerana tempoh pelantikannya adalah untuk selama setahun. Anggota Majlis Tertinggi BERSATU itu dikatakan menikmati hubungan rapat dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada masa awal pentadbiran Pakatan Harapan, Kadir berkhidmat sebagai jurucakap Majlis Penasihat Kerajaan yang diwujudkan pada 12 Mei - tiga hari selepas gabungan itu memenangi pilihan raya umum.
Walau bagaimanapun, beliau meletak jawatannya kurang dari sebulan kemudian, selepas aduan dibangkitkan berhubung catatan di blognya yang menyentuh tentang Raja-raja Melayu.

