Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya bukan anak Anwar, tapi saya bantah pelantikan Rahim Noor'

Senator Dewan Negara, Yusmadi Yusoff menyokong gesaan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan melantik bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator bagi proses keamanan di selatan Thailand.

Yusmadi juga membidas kenyataan Rahim sebelum ini yang menyifatkan bantahan Nurul Izzah tidak harus dipandang serius kerana anggota parlimen Permatang Pauh itu anak Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya bukan anak Anwar tapi saya membantah pelantikan beliau kerana prinsip. Ramai lagi tokoh yang berwibawa boleh dilantik kerajaan. Antaranya bekas menteri pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz atau Anwar sendiri.

"Saya tegas memohon pemimpin kerajaan untuk mempertimbangkan calon lain untuk jawatan berkenaan," katanya.

Jelas Yusmadi yang juga merupakan bekas anggota parlimen Balik Pulau, tindakan melantik Abdul Rahim adalah tidak wajar kerana beliau mempunyai rekod lampau dan tidak sesuai memegang jawatan itu.

"Bagi saya Rahim tidak mempunyai integriti dan beliau seorang individu yang berjawatan tinggi pada suatu ketika telah disabitkan kesalahan jenayah yang serius setelah mencederakan pemimpin tertinggi negara, perkara tersebut hanya diketahui hanya selepas proses suruhanjaya dilaksanakan.

"Disebabkan kes berkenaan beliau (Rahim) didakwa di Mahkamah Jenayah. Saya merasakan untuk proses damai yang efektif antara prasyarat utama untuk seorang yang dilantik sebagai orang tengah, beliau harus mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipertikaikan," katanya kepada pemberita di parlimen, hari ini.

Abdul Rahim, 75, menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim sebagai fasilitator baru untuk proses perdamaian di selatan Thailand antara kerajaan Thai dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO).

Nurul Izzah Anwar melalui akaun Twitter miliknya sebelum ini membantah pelantikan Rahim dan menyifatkan beliau sebagai "penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah".

Nurul merujuk kepada peristiwa 'mata lebam' apabila bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipukul ketika dalam tahanan polis selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Lihat Komen
ADS