8 tahanan Sosma berpenyakit kronik mogok lapar di penjara P Pinang
Lapan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang berpenyakit kronik di Penjara Pulau Pinang mengadakan mogok lapar sejak 8 pagi semalam bagi mendesak kerajaan membenarkan mereka diikat jamin.
Jurucakap mereka, Presiden Tamilal Kural Malaysia David Marshel berkata mereka yang berusia 30-an hingga 60 tahun itu adalah antara 42 tahanan Sosma di penjara tersebut.
"Lapan tahanan itu ditempatkan di sel berasingan berikutan mempunyai pelbagai penyakit antaranya darah tinggi, kanser dan HIV/AIDS. Selain mogok lapar mereka langsung tidak mahu mengambil ubat yang sepatutnya perlu diambil mengikut jadual ditetapkan.
"Saya telah bertemu dengan pihak penjara dan mereka maklumkan lapan tahanan itu enggan makan apa-apa termasuk ubat walaupun telah dipujuk dan keadaan mereka ketika ini lemah," katanya yang ditemui pemberita semasa berhimpun secara aman bersama kira-kira 20 anggota keluarga lapan tahanan terbabit di hadapan pintu pelawat penjara berkenaan, di George Town hari ini.
Beliau juga berkata lapan tahanan berkenaan akan meneruskan mogok lapar untuk menggesa kerajaan dan Peguam Negara melihat semula Akta Sosma seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum mereka.
"Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini berjanji memansuhkan akta itu namun selepas lebih 100 hari memerintah tiada sebarang keputusan dibuat dan ini membuatkan tahanan Sosma dan keluarga mereka tidak berpuashati.
"Mereka (tahanan dan keluarga) mahu sekurang-kurangnya tahanan terutama mereka yang mempunyai penyakit diberikan jaminan supaya dapat menerima rawatan dan juga kes mereka didakwa di mahkamah serta mengikut prosedur undang-undang," katanya.
Tonggak utama keluarga
Sementara itu, seorang anggota keluarga K. Kandasamy, 64, berkata seorang daripada lapan tahanan terbabit adalah anak lelakinya yang berusia 39 tahun yang menghidap darah tinggi dan memerlukan rawatan.
"Dia ditahan Oktober tahun lalu ketika baru kahwin empat bulan dan kini mempunyai bayi berusia enam bulan. Saya sangat berharap anak lelaki yang juga tonggak utama keluarga dibebaskan dengan ikat jamin dan jika betul dia salah bawa ke mahkamah dan hadapi perbicaraan dengan adil,” katanya.
Seorang lagi ahli keluarga, M. Letchumi, 69, berkata menantunya yang berusia 53 tahun ditahan menurut Akta Sosma hampir setahun lalu dan dia kini terpaksa menanggung lima cucu berusia dua hingga 16 tahun termasuk seorang yang menghidap leukemia.
"Dia juga mempunyai penyakit iaitu darah tinggi dan asma...jadi kami tidak minta lebih dari kerajaan cukuplah dapat beri jaminan kepadanya supaya dapat menyara anak-anak dia," katanya.
Pada Ahad lalu, seramai 118 tahanan Sosma Penjara Sungai Buloh berjaya dipujuk supaya menghentikan mogok lapar yang mereka mulakan sejak 8 pagi Jumaat bagi mendesak kerajaan menghapuskan akta berkenaan.
- Bernama

