'Laporan Jawatankuasa 1MDB sudah diserah pada PM, belum boleh didedah'
Laporan jawatankuasa siasatan 1MDB sudah diserahkan kepada perdana menteri namun belum disiarkan untuk umum, kata bekas anggota jawatankuasa berkenaan Cynthia Gabriel.
Jelas Cynthia, laporan berkenaan belum boleh didedahkan kerana siasatan berhubung perkara itu yang masih sedang berlangsung.
"Laporan itu untuk diserahkan kepada perdana menteri. Sudah tentu, demi ketelusan, kita mahu ia dededahkan.
"Tapi sukar kerana siasatan belum selesai. Jadi ia tidak boleh didedahkan ketika ini," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Cynthia menambah bahawa laporan itu tidak boleh didedahkan ketika siasatan masih sedang dijalankan kerana "kemungkinan akan ada perubahan maklumat".
Katanya, laporan itu hanya boleh didedahkan setelah siasatan selesai dan Peguam Negara memutuskan untuk membawa laporan itu ke mahkamah.
Jawatankuasa siasatan itu ditubuhkan di bawah Majlis Penasihat Kerajaan yang mendapat 100 hari mandat menasihati Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Tempoh 100 hari itu tamat pada 19 Ogos lalu.
Kenyataan Cynthia itu menyerupai kenyataan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram, yang merupakan bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan, bahawa laporan majlis penasihat itu yang diserahkan kepada Dr Mahathir perlu kekal sebagai dokumen sulit kerana kandungannya yang sensitif.

