DRB-Hicom Bhd kekal rugi pada suku pertama berakhir 30 Jun, 2018 apabila mencatatkan kerugian bersih RM144.76 juta berbanding RM120.55 juta pada suku yang sama 2017.

Perolehan susut kepada RM2.65 bilion berbanding RM3.13 bilion pada tempoh yang sama, disebabkan terutamanya jualan kenderaan yang rendah oleh anak syarikatnya, Proton Holdings Bhd serta syarikat automotif lain di bawahnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, DRB-Hicom berkata prestasi lemah anak syarikat tertentu dalam sektor automotif dan perkhidmatan telah menjejaskan keputusan kewangan pada tempoh suku yang dinilai itu.

Bagaimanapun, perkongsian keuntungan lebih tinggi daripada syarikat sekutu dan sektor hartanah telah mengurangkan kerugian bersih keseluruhan, menurut firma itu.

“Perolehan bagi sektor automotif adalah sebanyak RM1.40 bilion, dengan pembuat kereta nasional, Proton menjual 6,173 unit pada Jun 2018, manakala yang lain dalam industri ini, semua jenama di bawah syarikat merekodkan peningkatan jualan pada Jun, dan terus berbuat demikian pada bulan-bulan seterusnya.

“Perolehan sektor perkhidmatan DRB-Hicom sebanyak RM1.11 bilion pada tempoh yang dinilaikan, manakala perolehan sektor hartanah bagi tempoh tiga bulan itu berjumlah RM142.80 juta,” menurut syarikat itu dalam kenyataan media.

Melangkah maju, DRB-Hicom berkata sektor automotifnya dijangka memperoleh momentum, dengan kenderaan utiliti sukan Proton akan dilancarkan menjelang akhir 2018.

Syarikat itu berkata, pelancaran produk baharu daripada jenama lain serta aktiviti promosi akan berperanan sebagai pemangkin untuk memacu lagi jumlah jualan.

Bagi memberi tumpuan lebih baik kepada pengurusan modal dan fleksibiliti untuk meneruskan strategi pertumbuhan, syarikat itu berkata ia akan terus mencari kaedah untuk memanfaatkan nilai dari asetnya, iaitu penjualan anak syarikat pengurusan sisa Alam Flora Sdn Bhd, dan cadangan rasionalisasi aset hartanah bukan industri selaras dengan inisiatif tersebut.

DRB-Hicom berkata, ketika landskap perniagaan mencabar, ia akan terus menumpukan untuk memacu kecekapan operasi dan pada masa sama mengekalkan disiplin modal dan kecemerlangan operasi merentasi semua perniagaan dan anak syarikatnya untuk terus maju.

- Bernama