Seorang wartawan kanan akhbar harian berbahasa Tamil kini terpaksa bergantung hidup dengan susu formula apabila badannya tidak lagi berupaya menerima makanan akibat penyakit kanser perut yang dihidapi sejak 2009.

VP Tawasegaran, 66 yang merupakan Ketua Wilayah Timur, Tamil Nesan berkata bantuan mesin khas digunakan bagi menyalurkan susu formula terus ke bahagian perutnya.

"Saya dikesan menghidap penyakit ini sembilan tahun lalu dan sejak itu kesihatan saya semakin merosot serta sering kali keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Pernah tiga kali menjalani pembedahan iaitu pada 2009, 2015 dan 2016 dan yang terbaharu, sekali lagi saya terpaksa dimasukkan ke HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) pada 16 Ogos lalu.

"Kali ini doktor terpaksa menebuk bahagian perut berikutan saya sering muntah apabila makan secara normal," katanya ketika ditemui Bernama di HTAA, di Kuatan, semalam.

Penyakit itu membataskan pergerakan bapa kepada dua anak lelaki tersebut, memaksanya melupakan seketika bidang kewartawanan yang telah diceburinya sejak 30 tahun lalu.

Berikutan itu, beliau kini yang mempunyai berat badan hanya 29 kilogram, menanggung bebanan kewangan untuk menampung kos perubatan yang mencecah lebih RM1,500 sebulan termasuk untuk membeli susu formula.

"Disebabkan berat badan menyusut sehingga 29 kilogram, pembedahan kali keempat yang sepatutnya dilakukan, tidak boleh dilakukan kerana berisiko tinggi.

“Ia menyebabkan saya terpaksa meneruskan hidup dengan bergantung sepenuhnya dengan susu formula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu mana-mana pihak yang sudi agar tampil membantu meringankan bebanan kewangannya dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB 06010733559528.

- Bernama