Berita Malaysiakini

Rashid: Saya tak minta jawatan Pengerusi JK Reformasi Pilihan Raya

Zikri Kamarulzaman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Naib Presiden BERSATU Tan Sri Abdul Rashid Ab Rahman sedar kontroversi berkenaan pelantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) kerajaan.

Tetapi, katanya, beliau tidak meminta jawatan itu.

"(Pengkritik saya) mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa ini tetapi terdapat sedikit kontroversi mengenainya.

"Ada orang lain yang mahu melakukan pekerjaan ini, tetapi malangnya saya yang dipilih.

"Saya tak minta kerja ini, saya sudah bersara dengan tenang, bermain dengan cucu-cucu saya, tetapi saya fikir mereka melihat saya sebagai seseorang yang boleh melakukan tugas berkenaan," kata Rashid pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan siapa lagi yang mahu mengetuai ERC.

Beliau berkata demikian apabila ditanya jika reformasi yang dicadangkan oleh ERC akan dapat memenangi hati bekas pengkritiknya.

Rashid kerap ditegur parti pembangkang ketika menjadi pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya kerana didakwa mengendalikan pilihan raya yang tidak adil.

ERC yang dipengerusikan Rashid hari ini telah mencadangkan pembaharuan yang dapat memastikan pemilihan yang lebih baik dan adil pada masa akan datang.

Jawatankuasa tersebut kini mempunyai 10 orang anggota, tetapi merancang untuk mengembangkannya keanggotaannya kepada 18 orang ahli termasuk pihak daripada BERSIH, Merdeka Centre, pembangkang BN, SPR dan NGO dari Malaysia Timur.

Selain Rashid, jawatankuasa itu juga dianggotai pemimpin BERSATU Datuk Kamaruddin Md Nor, Datuk Nordin Salleh dan Wan Saiful Wan Jan; ahli akademik Prof Datuk Dr Redzuan Othman, Faisal Hazis dan Wong Chin Huat; pegawai khas Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Marzuki Mohamad, Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar serta Ketua Pengarah Jabatan Integriti Nasional, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

[Baca berita penuh]