Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini mengenakan denda RM1,000 terhadap seorang lelaki yang menjalankan perniagaan pusat urut tanpa lesen.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Chua Tyzz Gian, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menjalankan perniagaan pusat urut tanpa lesen sah Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Mahkamah turut memerintahkan Chua dipenjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Tertuduh melakukan kesalahan di sebuah premis No.2-1 Yuyuko Jalan Metro, Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada 10.45 malam, 1 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Establismen Kecantikan dan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2003 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Chua yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan tidak bekerja manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

- Bernama