Suhakam: Mansuhkan OSA, bebaskan maklumat
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Badan itu mengingatkan undang-undang itu telah digunakan oleh pentadbiran lama untuk menyekat capaian terhadap dokumen berkaitan 1MDB.
Pengerusinya Tan Sri Razali Ismail juga berkata undang-undang kebebasan maklumat yang membenarkan capaian awam terhadap dokumen kerajaan harus digubal.
“Kerajaan tidak lagi harus mengabaikan perlindungan terhadap kebebasan maklumat rakyat,” kata Razali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong semalam berkata kerajaan sedang mengkaji bagi menambah baik OSA dan Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) sebelum dibentangkan di parlimen.
Katanya, kerajaan memerlukan 12 bulan dari sekarang bagi mengumpul maklumat dan pandangan dari semua kementerian yang terlibat.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Mohamad bersetuju bahawa OSA pernah disalah guna, tetapi percaya kerajaan masih memerlukan undang-undang itu.

