Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hanya kedai makan dapat pulangan lebih RM1.5j setahun kena SST
Diterbitkan:  Aug 30, 2018 1:15 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Kementerian Kewangan bersetuju menaikkan nilai ambang semua kedai makan dan restoran di negara ini bagi dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada RM1.5 juta setahun.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini cukai ambang yang ditetapkan kerajaan ialah RM500,000.

Bagaimanapun, kata Lim, peningkatan nilai ambang itu adalah yang terakhir akan diberikan oleh kementerian terbabit.

"Selepas mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk permohonan daripada pengusaha restoran nasi kandar dan kedai kopi yang meminta nilai ambang dinaikkan daripada RM500,000 kerajaan bersetuju untuk menaikkan kepada RM1 juta.

"Tetapi mereka tidak puas hati dan meminta dinaikkan sehingga RM3 juta.

"Kerajaan (akhirnya) bersetuju untuk menaikkan nilai ambang tersebut kepada RM1.5 juta," katanya ketika menyampaikan taklimat mengenai SST kepada media di Putrajaya hari ini.

Lim menjelaskan sesebuah restoran itu hanya dikenakan SST jika pulangannya lebih daripada nilai ambang RM1.5 juta setahun.

"Oleh itu, saya harap tiada kenaikan dari segi harga. Kita harap pengguna akan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS