Dr M gesa umat Islam jadi teladan dunia
Perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menggesa seluruh umat Islam supaya berjaya dalam semua bidang di dunia dan tidak hanya menumpukan urusan akhirat semata-mata.
Menurut Dr Mahathir, umat Islam yang saling bergaduh dan berbunuhan telah memberi imej buruk kepada dunia.
“Islam memaafkan kesilapan dan berasaskan keadilan, namun ini tidak dipraktikkan oleh kita, ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia,” katanya.
Beliau memberi ucapan semasa menghadiri suatu majlis di Institut Dakwah Antarabangsa Perkim di Kuala Lumpur.
Mahathir berkata umat Islam perlu menjadi seseorang yang diiktiraf berjaya dalam semua bidang, termasuk bidang keilmuan, pengurusan, pentadbiran dan sebagainya.
“Kalau kita hendak mempraktik dan menyebar dakwah, kita perlu menunjukkan bahawa umat Islam bukan sahaja akan berjaya di akhirat tetapi juga di dunia ini.
Mundur, miskin, mengemis
“Namun kita tidak fokus kepada perkara (dunia) ini, ya, kita perlu tahu apa yang diajar oleh agama, namun kebanyakan kita hanya tahu sebahagian sahaja dan cara kehidupan seorang muslim tidak diikuti oleh kebanyakan orang Islam,' ujarnya.
Beliau berkata, sudah sampai waktunya untuk menilai semula budi pekerti sebagai seorang muslim kerana kebanyakan masa penganut Islam dilihat sebagai golongan mundur, miskin dan mengemis bantuan.
"... kita melihat penganut Islam sebagai mundur, miskin, malahan mengemis bantuan daripada orang lain dan saya tidak fikir orang akan tertarik dengan ajaran Islam jika seperti itu keadaannya.
“Penyebaran dakwah semestinya menunjukkan kejayaan umat Islam kerana ini adalah sebahagian ajaran Islam, mereka tidak sepatutnya bermusuh dan menyerang masyarakat,” katanya lagi.

