Lima beradik dari Kampung Bukit Larek, Pokok Sena dekat Alor Setar yang tidak mampu bersekolah berikutan kesempitan hidup mendapat perhatian apabila anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menghulurkan sumbangan selepas tersentuh melihat nasib keluarga berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata empat daripadanya pernah bersekolah dan terpaksa berhenti kira-kira lebih setahun yang lalu berikutan hilang tempat bergantung selepas ayah mereka ditahan atas kes jenayah.

"Mereka berdepan dengan masalah kekeluargaan, kemiskinan dan pendidikan yang tidak sempurna jadi melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kita telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Zakat untuk bantu keluarga ini.

"Apa yang kita fokuskan adalah mengenai pendidikan anak-anak ini kerana mereka sebenarnya mahu ke sekolah tetapi terpaksa memadamkan impian tersebut berikutan kesempitan hidup," katanya kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

Terdahulu, Mohd Rozi bersama 40 orang yang terdiri dari anggota IPD Kota Setar, JKM Pokok Sena dan Pejabat Zakat Pokok Sena hadir ke rumah keluarga itu di Kampung Bukit Larek, Pokok Sena selain menyerahkan sumbangan hasil kutipan daripada pegawai dan anggota IPD Kota Setar.

Sementara itu, ibu kepada lima beradik itu, Rohana Hassan, 45, berkata anaknya Mohd Izham Mohd Rosli, 17; Siti Norliana, 15; Mohd Rizuan, 10; Siti Nur Aishah, 9 dan dan Siti Nor Danish Shatirah, 5 sepatutnya bersekolah namun dia tidak mampu untuk menghantar anak-anaknya.

"Sebelum ini, anak sulung dan kedua pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena manakala dua lagi bersekolah di Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad.

"Sebelum ini suami yang menyara hidup dengan membawa lori tetapi sekarang memang tiada punca pendapatan.

"Cuma sekarang anak sulung bekerja di kedai mencuci kereta dengan gaji harian antara RM15 hingga RM20 sehari manakala anak kedua bekerja di kedai makan namum gaji tersebut tidak cukup untuk menampung kos hidup kami sekeluarga," katanya.

Katanya, dia menjadi lebih bingung kerana selepas ini dia bersama keluarganya terpaksa keluar dari rumah tersebut berikutan telah tamat tempoh dan akan mencari rumah sewa di Jitra.

Mohd Izham yang sepatutnya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini berkata dia berharap dia dan adik-adiknya dapat bersekolah semula bagi membantu ibu dan keluarganya untuk mendapatkan hidup yang lebih baik.

- Bernama