Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya tak terima arahan kosongkan kerusi demi Anwar'

Anggota parlimen padang Serai M Karupaiya menafikan desas-desus bahawa beliau diberi arahan untuk mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau tidak pernah menerima sebarang arahan daripada pucuk pimpinan parti seperti diuar-uarkan di media sosial, selepas Anwar dilapor menyasarkan Oktober ini untuk bertanding dalam pilihan raya kecil.

"Tidak, saya tidak menerima sebarang arahan daripada DSAI (Anwar) mahupun orang lain berkenaan desas-desus ini.

“Ia cuma satu propaganda bagi mengelirukan ahli PKR di Padang Serai," kata Karupaiya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, beliau telah berjumpa dengan presiden PKR beberapa kali sejak kebelakangan ini tetapi tiada arahan tersebut diberikan.

Sejak awal minggu ini, berita mengenai anggota parlimen Padang Serai diarah melepaskan jawatan demi Anwar menjadi topik hangat di kalangan pengguna media sosial.

Karupaiya yang pertama kali menjadi wakil rakyat selepas pilihan raya 9 Mei lalu percaya pucuk pimpinan PKR tidak akan meminta beliau mengosongkan kerusi.

"Tidak mungkin ia berlaku. Kerana, ia adalah satu-satunya kerusi parlimen mewakili kaum India di Kedah," katanya.

Namun, ketua Cabang PKR di Kedah itu juga tidak menolak kemungkinan khabar angin itu disebarkan oleh pihak tertentu menjelang pemilihan parti.

"Mungkin ia satu propaganda untuk menjejaskan kewibawaan saya mempertahankan jawatannya sebagai ketua cabang pada pemilihan parti.

“Mereka ini mungkin nak sebarkan mesej bahawa saya tidak layak menjadi ketua cabang kerana sanggup meletak jawatan," jelas Karupaiya lagi.

Beliau bagaimanapun berkata tidak sabar untuk menyambut Anwar kembali ke parlimen.

Terdahulu, Anwar membayangkan bahawa satu pilihan raya kecil (PRK) lagi bakal diadakan pada Oktober ini.

Sebelum ini, anggota parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dan anggota parlimen Selayang William Leong menawarkan kerusi untuk Anwar bertanding dalam PRK bagi membolehkan beliau kembali ke parlimen.

Lihat Komen
ADS