Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC bersidang 3 hari teliti isu GST
Diterbitkan:  Aug 30, 2018 4:39 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menetapkan 12, 13 dan 20 Sept ini untuk memanggil beberapa individu yang terlibat bagi isu wang tuntutan cukai input bagi kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pihaknya menyenaraikan lebih enam individu untuk dipanggil bagi membantu siasatan berhubung isu kehilangan wang tuntutan bayaran balik GST yang didakwa ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.

"Beberapa saksi akan dipanggil termasuk daripada Jabatan Kewangan Negara, Jabatan Kastam untuk memberi keterangan kepada PAC.

"...kita akan panggil mereka (pegawai kerajaan terdahulu), penjawat awam terdahulu dan sekarang, bekas menteri dan menteri sekarang bakal dipanggil PAC dan surat telah diedarkan," katanya kepada pemberita selepas taklimat Jabatan Akauntan Negara bersama PAC di bangunan Parlimen, hari ini.

PAC kini dalam proses awal untuk menyiasat dua isu utama iaitu kehilangan lebih RM18 billion wang tuntutan GST dan skandal 1MDB.

Kiandee berkata PAC hari ini mendengar taklimat daripada Jabatan Akautan Negara atas isu kehilangan wang tuntutan GST dan 1MDB seperti yang diusulkan oleh Dewan Rakyat sebelum ini.

"Proses taklimat masih berjalan, taklimat bayaran tuntutan GST sudah selesai dan kini 1MDB.

"Bagaimanapun saya tidak boleh beritahu apa yang dibincangkan dalam bilik taklimat kerana kita tertakluk kepada peraturan mesyuarat dan perkara yang dibincangkan di dalam (bilik taklimat).

"Ini (taklimat) cuma pengenalan kepada isu dan perkara-perkara yang akan kelak dijadikan sebagai bahan siasatan oleh ahli PAC apabila prosiding terhadap perkara ini dibuat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS