Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan jadi seperti Maika Holdings, kata exco Perak

Anggota exco Perak, A Sivanesan menggesa Yayasan Pembangunan Pendidikan India agar tidak mengikut jejak langkah Maika Holdings dalam mengendalikan tanah seluas 2,000 ekar bagi tujuan pendidikan kepada pelajar India di negeri ini.

Sivanesan turut melahirkan rasa terkejut berhubung cara tanah berkenaan diserahkan kepada yayasan tersebut oleh kerajaan negeri yang diterajui BN sebelum ini.

"Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa ke atas tanah tersebut, yang diberikan kepada yayasan secara percuma untuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil di negeri ini.

"Yayasan itu mempunyai sembilan pengarah - kebanyakannya pemimpin MIC, mereka boleh melakukan apa saja yang mereka mahu (dengan tanah itu).

"Lembaga pengarah juga tidak perlu memperincikan akaun kepada kerajaan negeri," kata Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia itu kepada Malaysiakini.

Sivanesan juga menyamakan yayasan itu dengan organisasi seperti Maika Holdings Berhad atau Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (Aimst), yang "tidak boleh dicabar oleh orang awam".

Sementara itu ADUN Sungkai dari DAP itu juga mengakui wakil yayasan tersebut menemui beliau selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum ke-14.

"Mereka datang untuk berjumpa dengan saya selepas kita (HARAPAN) membentuk kerajaan negeri. Saya terkejut dengan perlembagaan yayasan itu yang 'longgar'. Tidak ada sebarang pembangunan untuk pelajar India di Perak dalam perlembagaannya.

"Saya telah meminta beberapa peguam kanan mengkaji perlembagaan yayasan itu. Matlamat kami adalah untuk tidak membiarkan yayasan itu berlepas tangan terhadap masyarakat India di Perak," katanya.

"Yayasan ini masih baru, kita tahu apa fungsinya dan sebab ia ditubuhkan, jika tidak (dipantau), mungkin dalam masa 20 tahun lagi, tiada siapa akan tahu untuk apa yayasan itu ditubuhkan, dan ia akan membuka ruang kepada salahgunakuasa," katanya.

Untuk rekod, yayasan tersebut ditubuhkan pada 30 Ogos 2013.

Tanah seluas 2,000 ekar yang diperuntukkan untuk pembinaan 134 sekolah Tamil di Perak, merupakan idea kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri itu pada tahun 2008.

Lihat Komen
ADS