'Malaysia Baru' mungkin pengaruhi rakyat S'pura, kata aktivis dalam buangan
Peralihan kuasa secara aman di Malaysia pada 9 Mei lalu mungkin mempengaruhi perubahan di Singapura, kata seorang aktivis yang dibuang dari republik itu.
Tan Wah Piow, yang bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini, berkata rakyat Malaysia telah menunjukkan kepada rakyat Singapura bahawa perubahan kerajaan bukan sesuatu yang perlu ditakuti.
"Saya berharap demikian (akan mempengaruhi rakyat Singapura). Rakyat Malaysia telah menunjukkan jalan kepada rakyat Singapura bahawa perubahan sesuatu yang mungkin dan tidak menakutkan.
"Keputusan pilihan raya 9 Mei (di Malaysia) telah menghapuskan naratif bahawa sebarang perubahan dalam kerajaan akan mengakibatkan rusuhan kaum.
"Ini memberi inspirasi kepada rakyat untuk membaskan kepercayaan bahawa demokrasi membawa keganasan, dari mitos bahawa demokrasi hanya ciptaan barat.
"Ini adalah pelajaran yang ditawarkan Malaysia di Singapura," kata Tan di luar pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana.
Kongsi pengalaman demokrasi
Beliau sebelum itu bertemu Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjemput beliau menyampaikan ucaptama pada satu persidangan mengenai demokrasi tahun depan.
PRU14 menyaksikan gabungan Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan selepas pembangkang mengalahkan BN buat pertama kali dalam tempoh 61 tahun.
Beliau menambah parti pemerintah Singapura, PAP, mungkin "bergelut untuk bersaing dengan perubahan di sini".
Mengenai pertemuan dengan Mahathir, Tan yang diiringi beberapa warga Singapura termasuk Thum Ping Tjin dan aktivis politik Malaysia, Hishamuddin Rais, berkata mereka mahu perdana menteri berkongsi pengalaman Malaysia dalam demokrasi.
Tan hidup dalam buangan di UK sejak tahun 1976 kerana dituduh menjadi dalang bagi menggulingkan kerajaan Singapura pada tahun 1987 untuk membentuk kerajaan komunis.
Republik itu kemudian membatalkan kerakyatan Tan.

