China puas hati dengan tindakan Malaysia, kata Azmi
China percaya hubungan dua hala dengan Malaysia tidak akan terjejas berikutan beberapa insiden membabitkan pelancong negara itu di Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid.
Katanya pihak keselamatan negara itu percaya Malaysia telah mengambil tindakan berkesan dalam mengendalikan beberapa isu berkaitan dengan pelancongnya dan yakin ia dilaksanakan secara memuaskan.
China percaya hubungan dua hala dengan Malaysia tidak akan terjejas berikutan beberapa insiden membabitkan pelancong negara itu di Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid.
Katanya pihak keselamatan negara itu percaya Malaysia telah mengambil tindakan berkesan dalam mengendalikan beberapa isu berkaitan dengan pelancongnya dan yakin ia dilaksanakan secara memuaskan.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Keselamatan Awam China, Liu Jin Gao, sejurus tiba di Beijing untuk lawatan selama seminggu.
Menurutnya pegawai China itu memberi jaminan bahawa beberapa insiden membabitkan rakyatnya di Malaysia tidak akan mempengaruhi hubungan antara Beijing dan Kuala Lumpur.
Menurut laporan Bernama, Azmi yang mengetuai delegasi 17 anggota, tiba di Beijing semalam atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memulihkan keyakinan pelancong China terhadap layanan pihak berkuasa Malaysia.
Katanya Liu faham dengan apa yang sebenarnya berlaku terhadap rakyatnya di luar negara dan menghormati sikap tegas Malaysia dalam mengambil tindakan terhadap pelancong yang melakukan pelbagai kesalahan.
Katanya pertemuan itu berjalan dalam suasana mesra dan baik manakala kerajaan China tidak menyoal keikhlasan Malaysia menyambut pelancong atau menyoal tindakan terhadap pelancong yang melakukan kesalahan.
Sebelum ini, media tempatan dan luar negara menghebohkan insiden rakaman video seorang wanita, dipercayai warga China, ditahan polis dan diarah berbogel serta melakukan ketuk ketampi di lokap polis.
Selain itu, akhbar republik itu turut melaporkan berita mengenai layanan buruk pihak Imigresen Malaysia terhadap tahanan warga China.
Azmi berkata lawatannya ke Beijing tepat pada waktunya kerana Perdana Menteri China dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur minggu depan.
"Kami boleh mewujudkan suasana mesra sebelum ketibaaannya dan kedua-dua pihak akan berasa lebih selesa," katanya.
Azmi berkata tindakan kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes wanita berkenaan menunjukkan betapa seriusnya kerajaan dalam menangani isu tersebut serta langkah-langkah susulan bagi memudahkan pelancong dan warga peniaga China berkunjung ke Malaysia.
Azmi menegaskan, kerajaan Malaysia melarang mana-mana pegawai kerajaan melakukan penderaan dan bersikap kasar terhadap pelancong warga China atau melabelkan wanita China sebagai tidak bermoral.
"Kita maklumkan kepada kerajaan China bahawa Malaysia menghargai dan menghormati China sebagai sebuah negara yang penting di Asia malah di dunia," katanya.
Delegasi Malaysia itu yang turut disertai Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Tan Chai Hoi dijangka melawat Shanghai Rabu ini dan Guangzhou Jumaat ini sebelum pulang ke tanahair.

