Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Debat: Calon HARAPAN kata tak terima jemputan stesen TV

PRK SERI SETIA | Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Halimey Abu Bakar menafikan dakwaan beliau menarik diri daripada jemputan debat bersama calon PAS Dr Halimah Ali untuk sebuah program temubual di televisyen.

Sebaliknya, Halimey berkata beliau tidak pernah menerima sebarang jemputan untuk menghadiri program tersebut.

"Tidak ada langsung isu tarik diri atau saya takut berdebat. Hakikatnya, saya tidak menerima sebarang jemputan.

"Bagaimanapun, itu tidak penting. Keutamaan saya sekarang adalah memberi fokus kepada rakyat khususnya di kawasan (DUN) Seri Setia dan berjumpa dengan mereka untuk mengetahui permasalahan atau isu-isu yang mereka hadapi," tegasnya semasa sidang media di sini, hari ini.

Rabu lepas (29 Ogos) telah tular satu dakwaan di media sosial menyatakan calon PH itu menarik diri apabila diajak bersemuka dengan pihak lawannya dalam sebuah program temubual anjuran Astro Awani.

Sementara itu, Dr Halimah pula berkata jemputan untuk hadir ke program tersebut diterima daripada pihak Astro Awani sendiri dan beliau dimaklumkan oleh penganjur bahawa pihak lawannya (Halimey) tidak dapat hadir sehari sebelum program itu.

"Saya dijemput dua hari sebelum program itu yang dijadualkan pada Rabu (29 Ogos). Sehari sebelum program tersebut saya dimaklumkan oleh pihak Astro Awani bahawa beliau (Halimey) tidak dapat hadir.

"Sekiranya mahu jadi wakil rakyat, maka kita seharusnya bersiap sedia sebab orang mahu dengar apa perancangan kita untuk menangani permasalahan yang dihadapi rakyat," katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan ‘walkabout’ di Pasar Malam TTDI Jaya di Shah Alam.

Pada PRK itu 8 Sept ini, Dr Halimah yang merupakan bekas anggota Exco kerajaan Selangor bakal berdepan dengan bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu dalam pertandingan satu lawan satu.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, 2 Ogos lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS