Paling Popular
Terkini

Kontinjen Malaysia menambah satu lagi pingat emas selain satu perak dan enam gangsa pada hari ke-13 temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 semalam.

Skuad pelayaran nyata berada dalam kelas tersendiri selepas menyumbang satu emas, satu perak dan tiga gangsa pada aksi di Pusat Pelayaran Kebangsaan Indonesia.

Pelayar negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah, 16, menjadi atlet termuda negara menyumbang pingat dengan memberikan pingat emas keenam Malaysia setelah mengungguli acara Laser Terbuka 4.7, selain satu perak yang disumbangkan oleh pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy dalam acara Laser Standard.

Pelayar wanita negara, Nur Shazrin Mohamad Latif turut menampilkan aksi cemerlang setelah meraih gangsa dalam acara Laser Radial, sekaligus mengiringi Khairulnizam ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dua lagi gangsa daripada sukan pelayaran disumbangkan oleh gandingan Nuraisyah Jamil dan Norashikin Mohamad Sayed dalam acara 470 wanita dan gandingan Illham Wahab dan Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman dalam acara campuran RS One.

Dalam pada itu, jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, gagal dalam misinya untuk meraih pingat emas peribadi kedua kerana hanya meraih gangsa dalam acara keirin.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu sebelum ini meraih satu emas dalam acara pecut individu dan satu perak dalam acara pecut berpasukan lelaki.

Hasrat skuad skuasy wanita negara untuk mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut sejak edisi 2010 di Guangzhou, China tidak kesampaian setelah kalah mengejut 0-2 kepada India pada aksi separuh akhir skuasy berpasukan dan meraih gangsa.

Berdasarkan format pertandingan, pasukan yang tewas pada aksi separuh akhir, menerima pingat gangsa secara automatik.

Gangsa terakhir Malaysia semalam hadir menerusi penerjun lelaki negara, Chew Yiwei yang menduduki tempat ketiga dalam acara tiga meter papan anjal individu.

Tambahan lapan pingat itu menyaksikan kontinjen negara mengutip enam emas, 12 perak dan 15 gangsa sejak hari pertama pertandingan pada 19 Ogos lepas.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini meraih lima emas, masing-masing dua pingat emas dalam acara boling, satu emas menerusi sepak takraw, satu emas dalam acara skuasy serta satu emas dalam acara berbasikal trek.

Malaysia turut meraih sebelas perak dalam acara boling (dua pingat), berbasikal trek (satu pingat), terjun (satu pingat), ekuestrian (satu pingat), silat (empat), sepak takraw (satu pingat) dan skuasy yang menyumbang satu pingat perak.

Sembilan gangsa Malaysia pula disumbangkan menerusi acara memanah (satu pingat), terjun (satu pingat), karate (satu pingat), silat (empat pingat), skuasy (satu pingat) serta acara taekwando yang meraih satu pingat gangsa.

Kontinjen negara dijangka menyandarkan harapan sama ada kepada skuad hoki lelaki atau skuad skuasy lelaki untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas.

Malaysia bakal berdepan Jepun pada aksi final hoki lelaki di Padang Hoki Gelora Bung Karno, manakala aksi final skuasy lelaki di Stadium Skuasy Gelora Bung Karno bakal menyaksikan pertemuan di antara Malaysia dan Hong Kong.

Juara bertahan China sah mengekalkan kejuaraan keseluruhan temasya sukan berkenaan sejak muncul juara buat pertama pada edisi 1982 di New Delhi India.

Negara Tembok Besar itu kekal unggul menerajui carta kutipan pingat dengan 118 pingat emas, 85 perak dan 60 gangsa, diikuti Jepun (69-50-70), manakala Korea Selatan di tempat ketiga dengan pungutan 43-54-63.

Sementara itu, pelayar muda negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah menyifatkan kejayaannya meraih pingat emas pada Sukan Asia Jakarta-Palembang merupakan hadiah terbaik yang mampu diberikan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 .

Pelayar berusia 16 tahun itu menjadi penyumbang pingat emas termuda kontinjen Malaysia setelah mengungguli acara Laser Terbuka 4.7 di Pusat Pelayaran Kebangsaan Indonesia dengan kutipan 20 mata penalti selepas berakhir 12 pusingan perlumbaan.

Pingat perak dan gangsa dalam acara berkenaan, masing-masih diraih wakil China, Wang Jianxiong (42 mata penalti) dan pelayar wanita India, Tomar Harshita dengan kutipan 62 mata penalti.

“Saya tidak menyangka dapat meraih pingat emas kerana saingan pada hari ini amat sengit sebab saya baru sahaja bertukar acara daripada Optimist kepada Laser Terbuka 4.7 dan saya anggap ini hadiah terbaik mampu saya berikan kepada negara kita sempena Hari Kebangsaan.

“Saya memang berpuas hati dapat menang emas dan saya ingin mendedikasikan kejayaan ini kepada kedua ibu bapa saya, jurulatih, Persatuan Pelayaran Malaysia dan rakyat Malaysia yang banyak memberi sokongan kepada atlet negara,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas berakhir perlumbaan hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata beliau bercadang membawa ibu bapanya menunaikan umrah menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara yang bakal diterimanya hasil kejayaan pada hari ini.

Di bawah skim berkenaan, atlet yang meraih emas pada Sukan Asia akan menerima habuan RM80,000, perak (RM40,000) dan RM20,000 kepada pemenang pingat gangsa.

“Selain itu, saya juga bercadang membeli peralatan baharu pada bot saya dan selebihnya terpulang kepada ibu bapa saya,” kata anak jati Kedah itu yang membuat penampilan sulung pada Sukan Asia.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS