Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib 'ajar' Lim mengenai akaun dalam isu bayaran balik cukai
Diterbitkan:  Sep 1, 2018 11:44 AM
Dikemaskini: 4:06 AM

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah membuat kesimpulan salah mengenai dakwaan bahawa kerajaan BN gagal membayar balik cukai terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini berikutan pendedahan Lim bahawa Tabungan Bayaran Balik Cukai (TBBC) hanya memiliki RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.

"Nampaknya Menteri Kewangan kita tidak memahami bahawa kerajaan menggunakan standard perakaunan tunai terubah (modified cash accounting) dan bukannya standard perakaunan Akruan (accruals accounting standard) sebagaimana digunakan di sektor swasta.

"Di bawah pentadbiran kerajaan, bagi standard perakaunan tunai, kesemua transaksi kewangan dihitung dan direkodkan apabila ada kemasukan atau pengeluaran tunai bagi tempoh kewangan dilaporkan," kata Najib dalam satu kenyataan di Facebook beliau.

Menurut Najib di bawah amalan itu, aset-aset tidak dijadikan modal dan liabiliti tidak dilaporkan dalam laporan kewangan.

"Sebab itu Lim Guan Eng membuat kesimpulan yang salah kononnya kerajaan BN terdahulu telah tersalah lapor cukai yang belum dikembalikan sebagai pendapatan dan menuduh kerajaan BN sebagai memalsukan akaun," katanya.

Katanya, sebagaimana ‘kekeliruan’ terhadap titik perpuluhan, salah pengertian antara perakaunan tunai dan akruan juga adalah satu kesilapan mudah yang lazim dilakukan sesiapa.

"Bagaimanapun, di bawah inisiatif transformasi sektor awam ketika pentadbiran saya, kerajaan pada masa itu sedang melalui peralihan kepada perakauan akruan pada tahun tahun mendatang.

Lim baru-baru ini mendakwa sehingga 31 Mei, TBBC hanya memiliki RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara, iaitu kurang sebanyak RM14.56 bilion.

Menurutnya sebanyak 1.6 juta pembayar cukai tidak mendapat bayaran balik yang terdiri daripada individu, syarikat, persatuan dan yayasan sejak lebih enam tahun lalu.

Semalam, Lim mendakwa bekas ketua setiausaha Perbendaharaan tidak mengendahkan permohonan LHDN yang meminta supaya memindahkan peruntukan mencukupi kepada TBBC.

Kata Lim permohonan itu tidak dipenuhi Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah walaupun dibuat secara rasmi melalui surat daripada ketua pengarah LHDN.

Lihat Komen
ADS