Debat: Halimey sangkal kenyataan Dr Halimah
Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar menafikan dakwaan pihak lawannya bahawa pihak penganjur sendiri menjemput beliau (Halimey) untuk menghadiri satu program temubual di televisyen.
Halimey berkata apa yang dinyatakan oleh Dr Halimah Ali adalah tidak benar kerana sememangnya beliau tidak menerima sebarang jemputan rasmi daripada mana-mana pihak berkenaan program itu.
"Sekiranya tiada jemputan rasmi, maka tiada persetujuan daripada pihak saya (HARAPAN). Cuma ingin saya ingatkan, saya memang tak dapat jemputan dan tiada maklumat sebetulnya," katanya pada sidang media selepas menghadiri Karnival Komuniti Prihatin dan Hari Terbuka Universiti Selangor (UNISEL), hari ini.
Semalam, Dr Halimah memberitahu media beliau dimaklumkan oleh penganjur sendiri iaitu Astro Awani, bahawa Halimey tidak dapat hadir sehari sebelum program Awani Agenda yang bersiaran pada Rabu lepas (29 Ogos).
Kenyataan itu susulan satu dakwaan yang tular di media sosial menyatakan calon PAKATAN HARAPAN itu menarik diri apabila diajak bersemuka dengan pihak lawannya dalam sebuah program anjuran stesen televisyen swasta itu.
Halimey menegaskan buat masa ini tumpuan utamanya adalah bertemu dengan pengundi seramai mungkin di DUN Seri Setia.
"Tinggal tujuh hari lagi (tempoh berkempen), tumpuan saya harus beri di kawasan sebab sasaran kita dalam tempoh tujuh hari lagi adalah kawasan-kawasan yang perlu kerja lebih," kata bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu.
Halimey bakal berdepan pertandingan satu lawan satu menentang Dr Halimah yang merupakan bekas anggota Exco kerajaaan Selangor dalam PRK itu pada 8 Sept ini, yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, 2 Ogos lepas
.- Bernama

