Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Brunei bermula esok.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata Mahathir akan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai daripada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

Ini adalah lawatan rasmi kedua Mahathir ke negara Asia Tenggara selepas Indonesia yang juga sebahagian daripada siri lawatan pengenalan beliau sejurus menyandang kembali jawatan perdana menteri pada 10 Mei lepas.

Semasa lawatan itu, beliau dijadual menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, disusuli majlis santapan tengahari yang dihoskan baginda.

Perdana menteri juga dijadual mengadakan perjumpaan bersama rakyat Malaysia di negara itu, kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata lawatan itu akan membuka peluang untuk kedua-dua pemimpin memperkasa hubungan dua hala dan kerjasama sedia ada, selain membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar terkini kerajaan dan pendirian negara, khususnya isu yang punya manfaat bersama.

Lawatan itu juga akan menyaksikan kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama, kata kenyataan itu.

Sultan Hassanal Bolkiah adalah ketua negara asing pertama yang mengadakan lawatan peribadi ke Malaysia bagi menyampaikan ucapan tahniah ke atas pelantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Pada 2017, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatatkan USD1.14 bilion, peningkatan 70 peratus berbanding 2016.

Brunei adalah rakan dagang Malaysia yang ke-35 terbesar pada peringkat global dan yang ketujuh terbesar dalam kalangan negara Asean.

- Bernama