Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Sidang media SPRM mengenai Hasanah prejudis
Diterbitkan:  Sep 1, 2018 4:04 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Peguam yang mewakili bekas ketua pengarah risikan Datuk Hasanah Abdul Hamid mempersoalkan mengapa Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil keterangan anak guamnya hari ini walaupun telah menahannya sejak Khamis lalu.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa pegawai SPRM hanya mula merekodkan kenyataan anak guamnya pagi ini.

Hasanah yang merupakan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana AS$ 12 juta oleh pegawai risikan kerajaan.

"Untuk rekod anak guam kami direman lima hari sejak hari Khamis 30 Ogos. Dan hanya pada 1 Sept kenyataan beliau baru nak diambil SPRM.

"Sedangkan pada 30 Ogos, SPRM dah buat sidang media memaklumkan penemuan duit berjuta-juta ringgit dan memberi gambaran seolah-olah anak guam kami telah menyelewengkan duit tersebut.

"Ternyata inilah yang kami maksudkan sidang media SPRM berkenaan adalah bersifat prejudis terhadap anak guam kami dan dibuat secara semberono tanpa mengambil kira kenyatan pembelaan dari anak guam kami," katanya.

Semasa sidang akhbar pada 30 Ogos lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki (gambar) menyatakan sejumlah wang berjumlah AS$ 6.3 juta telah dirampas dari beberapa lokasi, dengan jumlah terbesar ialah sebanyak AS$ 4.07 juta.

Wang itu ditemui di sebuah kondominium di Cyberjaya berikutan penahanan seorang peniaga berusia 47 tahun di Kelantan.

Tambahan AS$ 5 juta, katanya sedang dicari oleh penyiasat.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa wang itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Timur Tengah.

Dalam satu kenyataan semalam, firma guaman Azam Aziz Shaharudinali & Co, memberi amaran kepada pihak berkuasa untuk tidak mengeluarkan kenyataan lanjut terhadap Hasanah dan sedang mengkaji tindakan undang-undang mengenai perkara itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Azam enggan mengulas mengenai dakwaan peguam berkenaan namun menyatakan mereka bebas membawa perkara itu ke mahkamah jika tidak berpuas hati.

Sementara itu, dilaporkan hari ini bahawa tujuh bekas pegawai risikan turut ditahan bagi membantu siasatan termasuk timbalan ketua pengarah sebuah bahagian di Jabatan Perdana Menteri, yang kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Lihat Komen
ADS