Paling Popular
Terkini

PAS dan Umno dilihat semakin terbuka dalam menyatakan sokongan, khususnya pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis lalu dan Seri Setia yang akan datang.

Malah PAS juga pertimbang akan menghantar wakilnya selaku pemerhati pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 hujung bulan ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun belum menerima sebarang jemputan daripada Umno berhubung perkara itu, pihaknya akan pertimbang menghantar wakil menghadiri perhimpunan parti itu.

“Hingga setakat ni kita tak terima surat jemputan lagi. Kalau dijemput, parti akan buat mesyuarat, kita akan pertimbang (untuk menghantar wakil PAS).

"Untuk kita, kemungkinan PAS akan hantar wakil untuk hadir perhimpunan Agung Umno,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbincangan antara PAS dan paderi Kristian di Hotel De Palma, Ampang, hari ini.

PAU 2018 dijadual berlangsung pada 29 dan 30 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Jemput Umno ke muktamar

Mengulas perkara sama, Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan pula berkata parti mereka tidak menolak kemungkinan untuk menjemput Umno dalam muktamar mereka 14 September ini di Terengganu.

“Boleh jadi (jemput) sebab sebelum ni PAS pernah panggil kepimpinan parti lain. Parti yang tak ada ikatannya," katanya.

Menurut Nasrudin lagi, dalam muktamar itu juga PAS akan membincangkan soal kerjasama antara kedua-dua parti itu dalam muktamar mereka.

“PAS terbuka terima pandangan ahli dan kita buat keputusan pandangan yang betul dan keputusan berdasarkan kebenaran dan hujah kerana kita tak nak keputusan itu besifat sentimen mentah jadi kalau berbangkit, muktamar gembira boleh djadikan sayu dan perbahasan tak dapat solusi," katanya.

Nasrudin menambah, akar umbi PAS tidak mempunyai masalah terhadap kerjasama itu memandangkan ia "usaha menyatukan umat Islam".

“Akar umbi tak ada masalah, ia usaha menyatukan umat Islam dan usaha murni ini dilakukan.

“Kita tak nak nanti bangsa Melayu khasnya umat Islam terus bertelagah kerana perbezaan parti, jadi sesama kita boleh hormat menghormati,” katanya.

Lihat Komen
ADS