Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Bazir duit rakyat lagi jika buat PRK untuk Anwar

PAS berpendapat berjuta wang rakyat akan dibazirkan sekali lagi sekiranya pilihan raya kecil diadakan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding bagi membolehkannya menjadi anggota parlimen.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiada keperluan untuk seseorang ahli parlimen meletakkan jawatan untuk memaksa rakyat mengundi semula.

“Masalahnya ialah apakah perlu rakyat dipaksa untuk mengadakan pilihan raya semula. Berjuta dana negara akan dihabiskan untuk satu pilihan raya untuk sekadar beri ruang.

“Saya fikir ni tak sepatutnya berlaku dalam negara demokrasi, kerana saya tengok biasanya kekosongan kerana faktor kematian, bankrap, hilang kelayakan. Bukan sengaja beri peluang. Ini macam Kajang Move,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbincangan antara PAS dan paderi Kristian di Hotel De Palma, Ampang, hari ini.

Kajang Move atau Langkah Kajang merujuk kepada tindakan politik PKR untuk menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor pada 2014.

Pada masa itu DUN Kajang yang disandang Adun PKR, Lee Chin Cheh dikosongkan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Pada mulanya Anwar berhasrat bertanding di situ, namun keputusan mahkamah dalam kes liwat 2 tidak menyebelahinya dan kerusi itu kemudian diambil alih isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar mendapat pengampunan Agong dan dibebaskan daripada hukuman penjara selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei lalu. Bagaimanapun beliau pada masa ini tidak memiliki sebarang jawatan dalam kerajaan 

Sebelum ini wujud spekulasi terdapat usaha untuk menghalang Anwar menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri kelapan. Mahathir bagaimanapun menafikannya.

Semalam, Anwar memberi bayangan bahawa beliau akan kembali ke parlimen sebagai “yang berhormat”, kemungkinan Oktober ini.

PAS akan lawan Anwar

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata pihaknya sedang melihat langkah seterusnya yang akan diambil oleh PKR bagi PAS menyusun gerak kerja sekiranya PRK itu benar-benar berlaku.

“Kita akan tengok kerusi mana yang dikosongkan. Kalau kerusi tu PAS ada peluang untuk masuk, kita masuk, tak tahu kerusi mana.

“Tapi ada ura-ura Permatang Pauh dan Sungai Petani. Saya anggap ni peringkat khabar angin yang belum boleh pegang. Kita bersedia (PRK). Kalau ada peluang untuk kita menang, PAS akan gerakkan calon,” katanya.

Lihat Komen
ADS