Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Seri Setia: Dr Halimah dakwa PKR guna jentera k'jaan negeri

PRK SERI SETIA | Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia Dr Halimah Ali mempersoalkan jika kempen yang dilakukan oleh pesaingnya, Halimey Abu Bakar dari PKR, adalah "bersih".

Ini kerana, dakwa Dr Halimah, beliau sendiri melihat jentera kerajaan negeri digunakan bagi kempen Halimey.

“Ini adalah Malaysia Baharu, kita cakap pasal reformasi kerajaan dan pilihan raya, jadi perlu ke guna jentera kerajaan untuk kempen pilihan raya?

“Saya lihat dimana-mana, program pagi dan tengah hari tadi di PJS 6 dan Desa Mentari, (jentera) kerajaan beri barang-barang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbincangan antara PAS dan paderi Kristian di Hotel De Palma, Ampang, hari ini.

Dr Halimah turut berkata ketika kempen ini beliau tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan serta tidak diberikan wang bagi tujuan memberikan barangan kepada pengundi.

“Anggota parlimen kawasan ini adalah Maria Chin, pernah bersama (NGO) BERSIH, tapi ini bersih ke? Kempen ini bersih? Kita semua dalam PAS kita tak ada duit nak bagi macam itu.

"Ini semua (jentera kita) orang PAS… saya tak membeli barang-barang tapi orang PAS yang bawa dan masak, termasuk khemah, bendera semua dari PAS,” katanya.

Tambahnya lagi, perkara ini membuktikan rakyat memerlukan pembangkang yang kuat di Selangor bagi menjadi penegur kerajaan.

Berdasarkan pemerhatian BERSIH pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu, ada tiga kategori kesalahan yang dilakukan parti politik sepanjang tempoh 14 hari berkempen iaitu pengagihan hadiah atau sumbangan, penggunaan harta dan program kerajaan serta amalan politik perkauman serta melibatkan agama.

Justeru, BERSIH menggesa semua calon yang terlibat dalam dua pilihan raya kecil (PRK) bulan depan mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan seperti di Sungai Kandis baru-baru ini.

Pilihan raya kecil pada 8 Sept ini bagi dewan undangan negeri it diadakan susulan kematian penyandangnya, Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos.

Allahyarham memenangi kerusi itu pada PRU14 selepas menewaskan calon BN Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon bebas S Vigneswaran.

Lihat Komen
ADS