Azmin: Kongres bumiputera bukan perhimpunan Melayu 'Ali Baba'
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini bukan perhimpunan yang melibatkan 'Melayu Ali Baba'.
Istilah 'Ali Baba' merujuk kepada amalan kontraktor yang dianugerahkan kontrak bumiputera namun kemudian menjualnya kepada bukan bumiputera untuk mendapat keuntungan atas angin.
Jelas Azmin, isu berkaitan bumiputera hari ini tidak seharusnya dilihat dalam kerangka sebelum ini.
"Jangan ada lagi kotak pemikiran lama. Ini bukan Melayu rasuah. Ini bukan Melayu 'Ali Baba'.
"Sebab kalau kita amalkan rasuah, ketirisan, kebocoran, 'Ali Baba' atau surat sokongan, masalah tidak selesai.
Rasuah ini bukan masalah orang Melayu. Apabila berlaku rasuah semua terpalit, malahan negara boleh runtuh kalau kita amalkan rasuah.
"Lihat saja 1MDB. Melayu lah tu. Setiap tahun songkok enam inci, keris panjang," kata Azmin yang dipercayai merujuk kepada pemimpin Umno.
Azmin berkata demikian sebagai membandingkan kongres berkenaan yang diadakan di bawah pentadbiran lama BN sebelum ini yang menurutnya hanya membincangkan soal "tongkat dan sokongan politik."
Bukan untuk rampas hak kaum lain
Tambah Azmin, perhimpunan itu juga ia tidak diadakan untuk merampas hak mana-mana kaum.
Sebaliknya, kata Azmin, buat kali pertama kongres berkenaan membincangkan "soal nilai etika dan integriti".
"Buat kali pertama tema kita kongres masa depan bumi dan negara. Kia tak bicara pun soal kaum atau mana-mana kelompok. Buat kali pertma kongres bumiputera membincangkan isu-isu yang berkait rapat dengan soal nilai, moral, etika, integriti.
"Kalau sebelum ini kita bincang soal tongkat, sokongan politik, soal menjadi industri pelobi, kali pertama kongres bumiputera berani dan tegas bincang soal nilai etika dan integrti," katanya kepada perwakilan yang hadir.
Naib Presiden MCA Chew Mei Fun sebelum ini mengkritik kongres berkenaan dan mencabar Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk membatalkan program berkenaan.
Azmin turut menyorot bahawa antara speaker yang hadir pada program itu adalah Ketua PengarahPusat Governan, Integriti dan Anti-Rasuah Negara Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang memberi beberapa cadangan untuk membendung rasuah dan pelobi dalam ekonomi bumiputera.
"Mengapa kita dipersalahkan? Apakah kementerian saya berdosa, untuk menghapuskan (amalan) 'Ali Baba'? Menututp ketirisan dan banteras rasuah?
"Saya berharap selesai kongres ini, bukan saja kita dapat bentuk masyarakat bumiputera dan Melayu yang berintegriti, yang ada nilai, yang ada prinsip, yang progresif, yang ada kemahiran, tetapi harapan saya juga kongres ini dapat membentuk pandangan baru di kalangan bukan bumiputera bahawa bumiputera yang berhimpun hari ini adalah yang berani, yang cekal, yang berintegriti untuk maju ke hadapan dan mengangkat martabat rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.

