'Melayu dan bukan Melayu perlu faham kebimbangan masing-masing'
Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyentuh masalah perkauman di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN 2018) ketika tujuan program berkenaan sering dikaitkan dengan kepentingan kaum tertentu.
Bercakap kepada 2,500 perwakilan di kongres itu yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini, Anwar berkata orang Melayu dan bukan Melayu perlu memahami kebimbangan masing-masing.
"Fajar baru di Malaysia pasca PRU baru-baru ini beri harapan suasana lebih bebas dan tebuka, tapi ia juga mengundang sedikit kebimbangan di kalangan bukan Melayu.
"Mereka rasa bimbang, apakah janji kita untuk beri keadlan bagi semua, bahawa slogan anak Melayu anak Cina, anak India, anak Iban dan Kadazan tidak akan dipinggir dan dilupakan.
"Pada masa yang sama, ramai juga orang Melayu, dan ini disebut Tun Dr Mahathir Mohamad kepada saya dalam pertemuan tertutup bersama beliau, yang melahirkan kebimbangan apakah ada suatu anjakan dasar dan paradigma baru yang Akan meminggirkan masyarakat Melayu.
"Ini kenyataan politik Malaysia. Bahawa ada Melayu yang merasa bimbang, takut jumlah Melayu dipinggirkan kerana bicara meritokrasi, soal ekonomi lebih liberal dan kebUmiputeraan lama ditenggelamkan," katanya.
Anwar menegaskan bahawa meskipun setiap kaum mempunyai kebimbangan sendiri, HARAPAN akan memastikan tiada sesiapa dipinggirkan.
Naib Presiden MCA Chew Mei Fun sebelum ini mencabar Menteri Kewangan Lim Guan Eng membatalkan program KBN 2018 jika mahu "membuktikan HARAPAN mempertahankan perpaduan".
Anwar juga menyentuh isu rasuah yang terjadi di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini dan secara terbuka terdapat dari kalangan mereka sendiri yang terlibat.
"1MDB.... Tapi ia melambangkan apa? Kerana orang politiknya lembab (bertindak), peniaga yang dapat kontrak itu, yang puja kontrak dan kekayaan mereka, biar negara melingkup.
"Saya faham sebahagian saudara juga faham dan terlibat," katanya yang disambut ketawa hadirin.
"Sekarang (kita laungkan) 'Hidup Pakatan' tapi (mereka yang laungkan) terlibat dalam kerosakan (terhadap negara)," katanya.
Anwar kemudian memuji perbincangan di kongres berkenaan yang menumpukan kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam sistem ekonomi bumiputera seperti membendung ketirisan dan menamatkan amalan 'Ali Baba'.
Amalan 'Ali Baba' merujuk kepada keuntungan atas angin yang dilakukan oleh syarikat bumiputera dengan menjual kontrak yang dianugerahkan kepada mereka.
Tambahnya, dasar bumiputera harus diselaraskan untuk kepentingan golongan yang memerlukan dan bukan hanya segelintir dan menyorot bahawa jumlah orang Melayu berada di tahap B40 lebih tinggi.

