'Kiss dan BR1M beza dari segi pelaksanaan'
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah mempertahankan program kebajikan kerajaan negeri, Kiss atau 'Kasih Ibu Smart Selangor' yang menurutnya mencontohi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Tak salah mencontohi benda baik," katanya dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian dalam sebuah program semalam.
Siti Mariah berkata BR1M dan Kiss merupakan program yang diwujudkan bagi membantu golongan yang memerlukan namun berbeza dari segi pelaksanaan.
"Kiss adalah bantuan yang diberi dalam bentuk barangan dengan menyasarkan kanak-kanak sementara BR1M adalah agihan wang tunai yang diberikan kepada orang dewasa mengikut syarat.
"Jadi jelas Kiss tidak sama dengan BR1M... 19 barang yang tersenarai di bawah Kiss adalah untuk membantu kanak-kanak miskin dan bukan untuk merasuah kerana niat kita untuk membantu mereka dan selain itu, (kita mengenakan) syarat ketat yang menyatakan kanak-kanak pemohon perlu berumur 18 tahun ke bawah," katanya.
Siti Mariah juga menafikan kerajaan negeri akan menamatkan program Kiss dan Peduli Sihat, program kad perubatan yang diberikan kepada keluarga dan individu miskin.
Beliau bagaimanapun berkata program berkenaan dihentikan sementara waktu pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu kerana bimbang dianggap sebagai rasuah.
"Tapi selepas semua pilihan raya, program-program ini akan dimulakan semula dan ketika ini (kita menerima) 35,000 permohonan... Sebelum ini 40,000 penerima, permohonan untuk tahun ini akan dihentikan," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan BR1M akan diteruskan dengan nama 'Bantuan Sara Hidup'.

