Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Johor cadang kuota 30 peratus warga tempatan di Forest City
Diterbitkan:  Sep 3, 2018 11:37 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Di tengah-tengah kebimbangan penghijrahan warga China ke Johor, kerajaan negeri telah mencadangkan kuota 30 peratus untuk warga Malaysia bagi hartanah di Forest City.

Bagaimanapun kuota tersebut belum dimuktamadkan dan hanya berdasarkan dapatan awal mengenai projek mega itu, kata Exco Perumahan Dan Pembangunan Luar Bandar Dzulkefly Ahmad.

"Kuota orang tempatan untuk pemilikan hartanah di Forest City dilihat sebagai sekatan yang saksama kerana hampir semua projek pembangunan di Johor terikat dengan pelbagai kuota oleh kerajaan negeri untuk melindungi tanah.

"Kami harap cadangan ini akan diterima secara positif oleh jawatankuasa yang melibatkan kerajaan negeri, kementerian kewangan, kementerian perumahan dan kerajaan tempatan dan pemaju Country Garden Pacificview Sdn Bhd," katanya seperti dipetik the Malay Mail.

Katanya, jawatankuasa yang diumumkan enam hari lalu untuk meneliti pemilikan asing di Forest City belum memulakan mesyuarat.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan penubuhannya kerana garis panduan dan peraturan tertentu berhubung projek itu dapat dijelaskan kepada orang awam.

Projek itu dibina secara usaha sama oleh syarikat China, Country Garden Holdings Company dengan perniagaan yang dimiliki Sultan Johor, di empat pulau buatan dengan keluasatn 13.86 kilometer persegi.

Pemaju menganggarkan kawasan itu mencapai 700,000 penduduk menjelang 2035, tetapi setakat ini hampir keseluruhannya menyasarkan pembeli dari luar.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kerajaan tidak akan lagi membenarkan orang luar membeli unit kediaman di situ.

Namun Forest City mempertikai kenyataan itu dan mendakwa Mahathir menyuarakan perkara berbeza dalam pertemuan mereka.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan akan mengkaji semula projek itu kerana sebahagian unitnya ditawarkan sebagai insentif pelaburan di China.

Dalam pada itu, Dzulkefly (gambar) berkata kerajaan negeri tidak melihat projek itu berdepan banyak isu dan pelaburan luar telah memberi manfaat kepada negeri serta mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Katanya lagi, pemaju telah memaklumkan pihaknya hanya lima peratus pembeli luar yang telah membuat permohonan rasmi untuk program Malaysia My Second Home (MM2H) setakat Jun lalu.

Beliau juga mengingatkan semua pihak bahawa isu berkaitan hutan, tanah dan air Johor tertakluk bawah bidang kuasa negeri.

"Bagi pembangunan biasa di negeri, semua pemaju perlu mematuhi kadar kuota untuk hartanah yang terletak di lot antarabangsa, seperti kuota bumiputeran serta kuota harga minimum RM1 juta bagi orang luar.

"Projek seperti Forest City diberi pertimbangan istimewa oleh pentadbiran BN sebelum ini," katanya lagi seperti dipetik.
 

Lihat Komen
ADS