Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid dibebaskan daripada reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini, selepas ditahan sejak Selasa lalu.

Peguamnya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad juga menolak permohonan pegawai penyiasat SPRM agar Hasanah diarahkan membayar deposit RM50,000 untuk pembebasannya.

"Pada awalnya SPRM meminta majistret mengarahkan Hasanah menyerahkan pasportnya kepada SPRM dan membayar deposit RM50,000.

"Kami bantah, tiada justifikasi undang-undang untuk (Hasanah) depositkan wang melainkan SPRM boleh kemukakan alasan yang wajar. (Alasan) Mereka bagaimanapun gagal meyakinkan mahkamah," katanya kepada pemberita di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Namun, katanya lagi, Hasanah tetap perlu menyerahkan pasportnya kepada SPRM dan perlu menulis surat permohonan kepada suruhanjaya itu jika memerlukannya untuk ke luar negara.

Hasanah tiba di mahkamah pada pukul 10.30 pagi tadi. Memakai blaus bercorak bunga, dia menutup wajahnya dengan tudung hitam yang dipakainya sepanjang dibawa pegawai SPRM ke kamar mahkamah.

Mohd Khairul (kanan) berkata ketika majistret bertanya Hasanah tentang keadaan ketika ditahan, dia memuji SPRM kerana memberikan layanan yang sangat baik kepadanya.

"Dia menghormati (pegawai) SPRM yang menjalankan tugas secara profesional. Mereka tidak bersikap melampau," katanya.

Ditanya sama ada SPRM akan terus menyiasat Hasanah, Mohd Khairul berkata, "terpulang kepada mereka tetapi kita berharap tiada lagi siasatan."

Hasanah ditahan pada 28 Ogos lalu dan dikenakan reman lima hari keesokannya. Semalam, tempoh itu dilanjut sehari lagi selepas permohonan SPRM untuk mendapatkan perintah reman tujuh hari lagi ditolak.

SPRM menyiasat Hasanah dan tujuh lagi bekas kakitangan MEIO berhubung dakwaan penyelewengan dana sehingga AS$12 juta yang dipercayai untuk PRU ke-14.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS